Petronas memetrai kontrak PSC bersama SK earthon, Petroleum Sarawak untuk Blok SK427 | DagangNews Skip to main content

Petronas memetrai kontrak PSC bersama SK earthon, Petroleum Sarawak untuk Blok SK427

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 April - Petronas hari ini memeterai kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bersama SK earthon Co., Ltd. (SK earthon) and Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn. Bhd. (PSEP) untuk Blok SK427 di luar pantai Sarawak.

 

SK earthon yang merupakan anak syarikat SK Innovation Co., Ltd dari Korea Selatan merupakan operator Block SK427 dengan 85% kepentingan manakala PSEP merupakan pemegang baki 15% kepentingan.

 

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Mohamed Firouz Asnan berkata, pihaknya menyambut baik kehadiran SK earthon ke dalam industri huluan dan sebagai pemain industri baharu mereka membawa bersama pengalaman dalam bidang penerokaan dan pengeluaran dari seluruh dunia.

 

Beliau berkata, Petronas juga akan bekerjasama dengan SK earthon dalam bidang Carbon Capture dan sektor penyimpanan selaras dengan aspirasi kumpulan itu untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.

 

"SK427 PSC ialah satu daripada enam blok yang dianugerahkan daripada Pusingan Bidaan Malaysia 2021, menunjukkan Potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi syarikat yang ingin mengembangkannya portfolio tenaga dan berkembang maju dalam peralihan tenaga.

 

"Menerusi strategi 'aset yang betul dan pemain industri yang tepat', disokong oleh regim fiskal yang progresif, kami berharap dapat memaksimakan nilai jangka panjang bagi sumber hidrokarbon negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Blok SK427 terletak dalam kawasan prolifik wilayah hidrokarbon Balingian dan Tatau meliputi kawasan seluas 3,349 km persegi.

 

Blok itu terletak dalam sistem hidrokarbon yang berpotesni untuk dikembangkan pada masa akan datang.

 

Beberapa penemuan hidrokarbon penting telah dibuat pada tahun 2021 di wilayah Balingian berhampiran blok itu, iaitu telaga Sirung-1 dan Hadrah-1.

 

Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) merupakan pusingan pelesenan tahunan Malaysia yang dihoskan oleh MPM yang menawarkan pelabur yang pelbagai peluang huluan, termasuk keluasan penerokaan, peluang sumber yang ditemui dan aset penghasilan.

 

MBR 2022 dilancarkan pada 27 Januari 2022 dan akan berlangsung hingga 30 Jun 2022 dengan tawaran 14 blok penerokaan, enam Kelompok Peluang Sumber Temui dan satu kelompok Aset Hayat. - DagangNews.com