Petronas raih untung bersih RM32.4 bilion, pendapatan RM171.7 bilion pada 1H2024 | DagangNews Skip to main content

Petronas raih untung bersih RM32.4 bilion, pendapatan RM171.7 bilion pada 1H2024

Gambar Petronas
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Sept - Petronas mencatatkan untung bersih sebanyak RM32.4 bilion bagi separuh pertama 2024 (1H2024), susut 19% berbanding tempoh setahun lalu.

 

Dalam kenyataan medianya, Petronas berkata. penyusutan itu disebabkan terutamanya oleh penyahgabungan anak syarikat dan peningkatan cukai sepanjang tempoh tersebut.

 

Walaupun untung bersih menyusut, namun pendapatan Petronas bertambah pada 1H2024 kepada RM171.7 bilion berbanding RM169 bilion pada 1H2023 (+1.6%) terutamanya disebabkan oleh impak daripada pertukaran mata wang asing.

 

"Ini sebahagiannya ditanggung oleh harga purata yang lebih rendah, terutamanya untuk LNG selari dengan penurunan harga petunjuk," katanya hari ini.

 

Kumpulan mencatatkan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak RM64.1 bilion, menurun sebanyak RM6.4 bilion atau 9%, selari dengan penurunan keuntungan.

 

Menurut Petronas, Aliran Tunai dari Aktiviti Operasi (CFFO) berada pada RM54.8 bilion, penurunan sebanyak RM3 bilion atau 5%, selari dengan penurunan keuntungan yang dijana sepanjang tempoh tersebut.

 

Kata kenyataan itu, pelaburan modal (Capex) berjumlah RM25.7 bilion, terutamanya dari aktiviti pembangunan dan penerokaan dalam perniagaan huluan manakala Capex domestik meningkat sebanyak 18% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 

petronas

 

"Jumlah aset pula meningkat kepada RM798.6 bilion pada 30 Jun 2024 berbanding RM773.3 bilion pada 31 Disember 2023, terutamanya disebabkan oleh pelaburan modal sepanjang tempoh kewangan.

 

"Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM443.9 bilion, terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang dicatatkan sepanjang tempoh kewangan, sebahagiannya ditanggung oleh dividen yang diumumkan kepada pemegang saham berjumlah RM32.0 bilion," ujarnya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, prestasi yang baik telah dicatatkan dalam 1H2024 walaupun dalam ketidaktentuan pasaran yang berterusan dan ekonomi global yang perlahan.

 

tengku

 

"Ini membuktikan komitmen kami terhadap pengurusan kewangan yang berhemah dan kekuatan portfolio yang pelbagai.

 

"Sewaktu kami melangkah ke usia 50 tahun, Petronas kekal teguh dalam tanggungjawabnya sebagai Syarikat Minyak Negara untuk memberikan nilai mampan jangka panjang bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

 

"Sejak penubuhan, PETRONAS telah menyuntik RM1.4 trilion ke dalam ekonomi negara melalui dividen, cukai, dan pembayaran tunai," jelasnya.

 

Menurut Tengku Muhammad Taufik, dengan evolusi menjadi pemain tenaga global dalam tempoh ini, Petronas akan terus mengukuhkan kerjasama dengan rakan kongsi di dalam mahupun luar negara, mempercepatkan penerapan teknologi dan pelaksanaan Strategi Peralihan Tenaga untuk membuka jalan bagi pertumbuhan masa depan.

 

"Walaupun kami menjangka melihat perubahan dinamik yang lebih besar dalam landskap operasi untuk baki tahun ini, Petronas tetap teguh dalam meneruskan semua aspek perniagaan kami yang terintegrasi dengan strategi yang jelas dan disiplin modal yang tegas, berpandukan tujuan kami sebagai rakan tenaga dan penyelesaian yang progresif kepada semua masyarakat yang kami layani,” ujarnya.

 

Mengenai prospek, Petronas berkata, ketegangan geopolitik yang berpanjangan dan ketidakpastian makroekonomi kekal sebagai pemacu utama ketidaktentuan yang terus memberi kesan negatif kepada pasaran global. 

 

Kata syarikat minyak negara itu, dalam menghadapi landskap yang kompleks, mencabar dan dinamik ini, Petronas kekal tangkas dalam mengenal pasti dan mengutamakan peluang untuk pertumbuhan.

 

"Kumpulan komited untuk mengekalkan nilai melalui rasionalisasi kos dan pelaburan yang fokus pada nilai, baik di dalam negara mahupun antarabangsa. 

 

"Khususnya, terus progresif dalam memanfaatkan sumber huluan sambil memajukan usaha dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (RE)," kata Petronas. - DagangNews.com