Petronas rancang mohon lesen bank digital | DagangNews Skip to main content

Petronas rancang mohon lesen bank digital

 

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan firma Singapura, Sea Ltd. adalah antara syarikat yang dilaporkan sedang merancang untuk memohon lesen bank digital di Malaysia. 

 

Menurut sumber yang rapat kepada perkara berkenaan, perkembangan itu berlaku pada ketika negara bersedia untuk membuka industri kewangannya. 

 

Selain itu, syarikat konglomerat tempatan, Genting Bhd. dan YTL Corp. Bhd. dan kerajaan Sarawak turut mempertimbangkan untuk membuat bidaan tersebut, kata sumber itu lagi yang enggan dikenali kerana maklumat yang sulit.

 

"Sebahagian firma itu, seperti Sea dan YRTL Corp, telah menyertainya dan merancang untuk membida lesen ini sebagai konsortium. 

 

"Mereka menyertai firma e-hailing dan pembayaran, Grab Holdings Inc, Sunway Bhd. serta beberapa lagi yang turut menyatakan minat," jelasnya seperti dilapor Bloomberg.

 

Malaysia merancang untuk mengeluarkan lima lesen bank digital yang mana ia telah mencetuskan minat dalam kalangan firma, bank dan lain-lain syarikat untuk memperkukuhkan kedudukan dalam perkhidmatan kewangan. 

 

Bidaan tersebut akan berakhir 30 Jun ini dan Bank Negara Malaysia dijangka membuat keputusan menjelang akhir tahun hadapan.

 

Malaysia menyertai Hong Kong dan Singapura dengan membuka sektor perbankan kepada pemain bukan industri kewangan sebagai persediaan ke arah peralihan teknologi, transaksi tanpa tunai dan pembiayaan dalam talian. 

 

Pandemik COVID-19 yang masih berlarutan ini semakin mempercepatkan transaksi digital dengan bank tradisional seperti HSBC Holdings plc merancang untuk menutup beberapa cawangan di Malaysia sebagai sebahagian strategi ke arah digital.

 

Bagaimanapun, Bloomberg melaporkan, wakil-wakil Sea, Grab dan kerajaan negeri Sarawak enggan memberi komen berhubung hal berkenaan, manakala YTL Corp dan Genting tidak memberi sebarang maklum balas.

 

Namun, sumber itu berkata, Petronas sebelum ini merancang untuk memberi tumpuan perbankan digital islamik dengan rakan kerjasama institusi kewangan. 

 

Petronas juga tidak memberi sebarang reaksi mengenai laporan ini.

 

Pengarah Pelaburan Fortress Capital Asset Management Sdn. Bhd., Chua Zhu Lian berkata, syarikat teknologi kewangan (fintech) sedia ada akan meraih peningkatan ketara dari segi kredibiliti memperoleh keyakinan yang pantas dalam kalangan pelanggan terutama dengan identiti rasmi sebagai bank, di samping lesen yang sah untuk menjalankan aktiviti perbankan, yang begitu dikawal selia di Malaysia.

 

"Dari perspektif nasional, ini merupakan pemangkin untuk membawa ekonomi berubah ke arah ekonomi digital," katanya. 

 

Pada Disember lalu, Singapura mengeluarkan empat lesen perbankan kepada Grab, Sea, Ant Group Co. Ltd. dan sebuah konsortium membabitkan firma China, Greenland Financial Holding Group, sekali gus merintis jalan bagi gergasi teknologi berkenaan memperluaskan perkhidmatan kewangan di hab Asia Tenggara itu. - DagangNews.com