Petronas sewa tanah Pelabuhan Kuantan bagi pembangunan hab CCS di Pahang | DagangNews Skip to main content

Petronas sewa tanah Pelabuhan Kuantan bagi pembangunan hab CCS di Pahang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi Petronas CCS Solutions Sdn Bhd memeterai perjanjian sewa tanah dengan Kuantan Port Consortium Sdn Bhd bagi pembangunan hab penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Pahang.

 

Petronas dalam satu kenyataan berkata, hab itu dijangka bermula menjelang 2029 dan memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon bagi industri yang sukar dihentikan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

"Lokasi hab itu sesuai untuk rantaian nilai CCS bersepadu dan pertumbuhan masa depan dan dijangka mewujudkan peluang dan memberi faedah ekonomi baharu kepada masyarakat sekitar," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas CCS Solutions, Nora'in Md Salleh berkata, hab CCS adalah tepat pada masanya bagi menyediakan rumusan penyahkarbonan kepada industri seperti keluli, kimia, simen, penjanaan kuasa dan petrokimia di Pahang.

 

Beliau berkata, dengan kapasiti penyimpanan yang besar, juga berfungsi untuk menghubungkan semua kawasan perindustrian di barat Semenanjung Malaysia dan Asia Pasifik yang memulakan penyahkarbonan.

 

"Projek ini menunjukkan komitmen kami kepada Malaysia dalam melancarkan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR)," katanya 

 

Secara keseluruhannya, Petronas berkata, langkah itu membolehkan pemindahan pengetahuan antara Petronas dan Pelabuhan Kuantan, yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam mengendalikan pelbagai jenis kargo, memupuk pertumbuhan perdagangan serantau serta melaksanakan rumusan logistik moden.

 

Kumpulan itu berkata, ia memajukan CCS sebagai rumusan utama bagi menangani pelepasan daripada operasinya dan industri lain di Asia Pasifik. - DagangNews.com