KUALA LUMPUR 19 Mei - Petronas mengumumkan penemuan gas di telaga cari gali 'wildcat' Kulintang-1, Blok SK438 yang terletak di perairan cetek daerah kecil Balingian, kira-kira 230 kilometer dari pesisir Miri, Sarawak.
Telaga Kulintang-1 telah berjaya digali pada kedalaman 2,238 meter pada April 2021, menurut Petronas dalam kenyataan hari ini.
Secara dasarnya, telaga 'wildcat' bermaksud yang belum terbukti wujudnya minyak atau dieksploitasi sepenuhnya dan tidak mempunyai rekod pengeluaran kukuh atau telah dieksploitasikan sepenuhnya sebelum itu sebagai tapak pengeluaran minyak dan gas.
Menurut syarikat minyak dan gas itu, gas tersebut ditemui dalam takungan batu pasir Oligocene hingga Middle Miocene, yang belum dinilai sepenuhnya sebelum ini.
PTTEP HK Offshore Limited adalah operator bagi Blok SK438 dengan memiliki 80% kepentingan manakala Petronas Carigali Sdn. Bhd. memegang lagi 20%.
Kontrak pengeluaran bersama (PSC) blok itu dianugerahkan pada Mac 2018 berikutan Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2017.
Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management, Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, kejayaan Kulintang-1 menandakan penemuan gas kedua di Balingian tahun ini.
Katanya, hasil yang menggalakkan ini membuktikan potensi 'sweet gas' di perairan ini terutama dalam keadaan geologi Oligosen yang lebih dalam.
"Penemuan gas ini di Kulintang boleh menjana perolehan menerusi infrastruktur sedia ada bagi memenuhi permintaan pelanggan gas domestik, termasuk kompleks Petronas LNG di Bintulu, Sarawak," katanya.
'Sweet gas' merujuk kepada gas asli yang mengandungi hanya sedikit atau tiada langsung hidrogen sulfida.
Pada Mac tahun ini, Petronas mengumumkan penemuan minyak dan gas di telaga 'wildcat' Sirung-1, Blok SK405B, juga di perairan Balingian.
Dalam pada itu, bagi MBR 2021 yang sedang dilaksanakan, Petronas menawarkan 13 peluang baharu bagi penerokaan blok di lembangan prolifik Malaysia termasuk beberapa blok di Balingian.
MBR 2021 turut menyertakan terma fiskal dan bukan fiskal yang ditambah baik, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Petronas untuk berkembang bersama rakan-rakan kongsinya di Malaysia. - DagangNews.com