Petronas, Top Glove terus jadi pilihan majikan utama graduan - TalentBank | DagangNews Skip to main content

Petronas, Top Glove terus jadi pilihan majikan utama graduan - TalentBank

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Dis - Anugerah Pilihan Graduan (GCA) ke-6 anjuran Talentbank menyaksikan beberapa buah syarikat, jenama dan universiti merangkul kemenangan untuk kali kelima berturut-turut.

 

Antara pemenang utama termasuklah AIA Shared Services, Johnson & Johnson, Petronas, Sunway University, Top Glove, dan Uniqlo.

 

Sementara itu, Maybank, EY, Maxis, AIA, Touch 'n Go dan Intel turut berjaya mengekalkan rekod kemenangan mereka dalam kategori masing-masing.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho berkata, Anugerah Pilihan Graduan yang dipilih 100% mahasiswa mencerminkan aspirasi tenaga kerja baharu. 

 

"25 syarikat terbaik telah menunjukkan kecemerlangan dalam pekerjaan graduan, menetapkan penanda aras untuk syarikat-syarikat lain," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sementara itu, anugerah tersebut berjaya memecah rekod setelah mencatatkan 464,220 undian terkumpul daripada pelajar universiti, menandakan penyertaan tertinggi sejak anugerah itu mula dianjurkan.

 

Untuk tahun ke-6 berturut-turut, GCA telah diangkat sebagai anugerah penjenamaan majikan graduan paling berwibawa di rantau Asia Pasifik. 

 

 

talentbank
Ben Ho

 

Edisi keenam GCA turut menyaksikan persaingan sengit yang mana lebih 2,500 syarikat bersaing untuk mendapatkan penghormatan dalam lebih daripada 90 kategori. 

 

Tahun ini, GCA bekerjasama dengan universiti tempatan bagi menyediakan platform untuk siswazah yang baru sahaja bergraduasi supaya mereka dapat menyuarakan pilihan pekerjaan mereka. 

 

Dapatan daripada tinjauan komprehensif menunjukkan bahawa graduan baharu mengharapkan gaji permulaan antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan.

 

Mereka turut meletakkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan, keterjaminan pekerjaan, dan pembangunan kerjaya sebagai matlamat kerjaya utama untuk 2023. - DagangNews.com