Petronas, TotalEnergies, Mitsui meterai perjanjian pembangunan CCS di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Petronas, TotalEnergies, Mitsui meterai perjanjian pembangunan CCS di Malaysia

(Dari kiri) Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanné; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik; dan wakil pengarah, Pegawai Urusan Eksekutif Kanan Mitsui & Co., Toru Matsu
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jun - Petronas telah menandatangani perjanjian pembangunan dengan TotalEnergies Carbon Neutrality Ventures (TotalEnergies) dan Mitsui & Co. Ltd. (Mitsui) untuk bersama-sama menjalankan projek Carbon Capture and Storage (CCS) di Malaysia.

 

Menurut kenyataan media Petronas hari ini, kerjasama tersebut membuka jalan bagi rumusan CCS bersepadu pertama seumpamanya untuk industri di rantau Asia Pasifik.

 

Jelasnya, skop perjanjian itu meliputi semua aspek pembangunan CCS seperti menilai medan susut sumber yang semakin matang dan akuifer masin untuk penyimpanan, mengenal pasti bakal pelanggan, serta mewujudkan rangka kerja komersil dan undang-undang yang diperlukan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata kerjasama dengan TotalEnergies dan Mitsui dalam membangunkan rumusan menerusi CCS mendekatkannya kepada masa depan rendah karbon.

 

“Perkongsian strategik itu menunjukkan komitmen Petronas untuk meletakkan Malaysia sebagai hab CCS serantau bagi menangkap peluang dalam peralihan tenaga dengan tumpuan mengurangkan jejak karbon operasi kami,” ujar beliau.

 

Perjanjian itu telah ditandatangani semalam oleh Tengku Muhammad Taufik dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanné dan wakil pengarah, Pegawai Urusan Eksekutif Kanan Mitsui & Co., Toru Matsui

 

Petronas berkata perjanjian tersebut akan memajukan inisiatif yang digariskan dalam memorandum persefahaman masing-masing yang ditandatangani oleh ketiga-tiga pihak pada 2022.

 

Petronas bekerjasama dengan rakan industri bagi mempercepatkan portfolio yang mampan untuk menghasilkan tenaga secara bertanggungjawab, selaras dengan Net Zero Carbon Emissions by 2050 Pathway. - DagangNews.com