Petronas untung RM9.3 bilion suku pertama | DagangNews Skip to main content

Petronas untung RM9.3 bilion suku pertama

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Untung bersih Petronas bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021, meningkat kepada RM9.3 bilion berbanding RM4.5 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, pendapatan syarikat minyak dan gas itu menyusut 12% kepada RM52.5 bilion berbanding RM59.6 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Penurunan ini disebabkan penjualan produk petroleum yang lebih rendah, gas asli cecair (LNG) dan gas asli serta kesan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dari segi kadar tukaran asing.

 

Bagi tempoh itu juga, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (​EBITDA) meningkat 13% kepada RM22.9 bilion berbanding RM20.3 bilion bagi tempoh sama 2020.

 

Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) pula berjumlah RM14.3 bilion, merosot 19% daripada RM17.6 bilion sebahagian besarnya disebabkan inventori yang lebih tinggi dan penerimaan lebih rendah daripada pelanggan. 

 

Jumlah aset pula meningkat kepada RM593.8 bilion setakat 31 Mac 2021 berbanding RM574.1 bilion setakat 31 Disember 2020 disumbangkan menerusi tunai dan setanding tunai yang lebih tinggi serta penerimaan yang lebih tinggi.

 

Perbelanjan modal (capex) kumpulan berjumlah RM6.7 bilion, disumbangkan terutama menerusi projek huluan.

 

Prestasi suku pertama itu juga mencerminkan pemulihan dari segi kerugian selepas cukai berjumlah RM1.1 bilion yang direkodkan pada suku keempat 2020.

 

 

Tengku Muhammad Taufik
Tengku Muhammad Taufik

 

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik berkata, prestasi Petronas pada suku tersebut menzahirkan komitmen berterusan Petronas untuk mencapai kecemerlangan dari segi komersial dan operasi di samping mengekalkan tahap kecairan bagi memperkukuhkan daya tahan kumpulan.

 

Katanya, langkah-langkah yang diambil sepanjang 2020 menyediakan asas kukuh kepada kumpulan untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran pada ketika Petronas berdepan dengan cabaran peralihan tenaga global. 

 

"Walaupun Petronas menghadapi cabaran dan ketidakpastian yang signifikan akibat wabak COVID-19, tetapi kami akan terus meningkatkan usaha untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.

 

"Oleh itu, kumpulan akan kekal komited untuk melaksanakan strategi pertumbuhan serampang 3 mata untuk muncul sebagai tenaga yang progresif dan penyelesaian rakan kerjasama dalam memperkaya kehidupan ke arah masa depan yang lestari," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, permintaan industri minyak dan gas dijangka terus meningkat susulan pelancaran vaksin COVID-19.

 

Tetapi, katanya, prospek pemulihan masih kekal tidak menentu dengan mengambil kira penularan wabak tersebut.

 

"Dalam hal ini, Petronas akan terus memacu kecemerlangan operasi dan komersial dengan disokong pemulihan harga minyak yang sederhana di samping memastikan kecairan berada pada tahap yang baik," katanya. - DagangNews.com