Petros, Samling dapat lesen perdagangan karbon daripada Kerajaan Sarawak | DagangNews Skip to main content

Petros, Samling dapat lesen perdagangan karbon daripada Kerajaan Sarawak

KUCHING 8 Ogos - Kerajaan Sarawak telah menganugerahkan lesen perdagangan karbon kepada syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan kumpulan syarikat perkayuan, Samling Group.

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Petros mendapat lesen berkenaan bagi tujuan untuk penyimpanan karbon dalam kawasan bekas telaga minyak manakala Samling pula adalah bagi projek karbon kawasan perladangan pokoknya.

 

Menurut beliau, wakil daripada Petros dan saya akan pergi ke Norway untuk melihat infrastruktur bagaimana penyimpanan karbon di sana.

 

"Samling yang mempunyai LPF (Licensed Planted Forest atau Penanaman Hutan Berlesen) sedang memperincikan projek mereka dengan rakan niaga mereka dari Singapura," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvokesyen Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS di sini hari ini, Bernama melaporkan.


 

cm

 

cm

 

cm
IBU bapa dan keluarga graduan pada majlis konvokesyen Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS di Kuching pada 8 Ogos 2023. Semua Gambar oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS

 


Baru-baru ini, laporan media menyatakan bahawa Petros diberikan lesen oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk penyimpanan karbon bagi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) asli negeri meliputi kawasan Luconia Utara di luar pesisir Bintulu.

 

Samling Group memperoleh lesen menerusi anak syarikatnya, SaraCarbon Sdn Bhd bagi menjalankan kajian untuk memulakan projek berasaskan semula jadi karbon dalam kawasan perladangan pokok industrinya di Marudi berdekatan Miri.

 

Sementara itu, Abang Johari berkata Kolej Universiti i-CATS yang merupakan institusi pendidikan teknikal tinggi milik kerajaan Sarawak akan memulakan program Latihan penyelenggaraan kenderaan hidrogen dan elektrik di kampus baharunya kelak.

 

Menurutnya, kampus baharu itu akan dibangunkan di sebuah kawasan seluas 81 hektar di Matang yang bakal dilengkapi peralatan teknologi terkini bagi membolehkan pelajar menjalani kursus terbaharu terbabit.

 

"(Penyelenggaraan kenderaan hidrogen dan EV) ini adalah kursus kejuruteraan baharu dan pihak universiti sedang mengkaji model yang sesuai. Mungkin mereka perlu merujuk dengan pihak yang terlibat dalam bidang ini dari Jerman yang ada mempunyai kursus tersebut," katanya. - DagangNews.com