PGF Capital peroleh manfaat daripada permintaan untuk penebat bangunan di Australia | DagangNews Skip to main content

PGF Capital peroleh manfaat daripada permintaan untuk penebat bangunan di Australia

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Penjana hasil utama PGF Capital Bhd dijangka datang dari pasaran Australia berikutan permintaan kukuh bagi produk penebat.

 

Dalam taklimat baru-baru ini dengan pengurusan syarikat, TA Research berkata lebih daripada 70% daripada jumlah hasil diperoleh daripada pasaran Australia pada suku pertama 2025 (1Q25) dan trend itu mungkin akan berterusan pada masa hadapan, didorong kepada perubahan dalam kod bangunan yang telah mengetatkan keperluan untuk penebat bangunan.

 

Firma penyelidikan itu berkata prestasi keputusan 1Q25 PGF Capital memberangsangkan dengan pertumbuhan 60% tahun ke tahun (y-o-y) dalam keuntungan teras kepada RM6.4 juta disokong oleh pertumbuhan hasil sebanyak 42.2% dengan margin yang agak stabil.

 

Ini adalah bukti permintaan kukuh untuk produk penebat di Australia, tambahnya.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pihak pengurusan juga yakin mendapat tempahan daripada projek transit aliran ringan dan pembesaran lapangan terbang di Pulau Pinang.

 

"Walaupun pesanan sekali sahaja tidak besar dari segi nilai kontrak, ia cukup besar untuk menyebabkan kekangan pada kapasiti sedia ada sebanyak 25,000 tan, yang telah dimaksimumkan pada 1Q25," kata firma penyelidikan itu.

 

Mengenai hak pengedaran lima tahun baru-baru ini yang ditandatangani untuk panel sandwic bulu mineral daripada Centria International, peneraju global dalam bahan binaan dan penyelesaian termaju, TA Research berkata hak pengedaran itu eksklusif di Malaysia dan bukan eksklusif di Australia, New Zealand dan Singapura .

 

Melihat ke hadapan, ia berkata syarikat itu merancang untuk menubuhkan usaha sama dengan Centria International untuk menghasilkan panel sandwic di kilang Kulim baharunya, menggunakan bulu kaca.

 

Keuntungan bersih PGF Capital meningkat sebanyak 69.81% tahun ke tahun kepada RM6.7 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025 (1S25) daripada RM3.9 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Ia mencapai pendapatan RM40.51 juta dengan pendapatan sesaham 4.06 sen.

 

Secara segmen, segmen penebat kekal sebagai penjana hasil teras, menyumbang 99.5% daripada jumlah hasil. Segmen perniagaan yang selebihnya, iaitu segmen pembangunan hartanah, pegangan pelaburan dan lain-lain mempunyai kesan yang kecil terhadap prestasi keseluruhan.

 

Aset bersih kumpulan sesaham meningkat kepada RM1.41 daripada RM1.29 pada akhir tahun kewangan sebelumnya. - DagangNews.com