PGG akan jadi rujukan tunggal asas tadbir urus, amalan kemampanan kepada semua GLIC | DagangNews Skip to main content

PGG akan jadi rujukan tunggal asas tadbir urus, amalan kemampanan kepada semua GLIC

KUALA LUMPUR 15 April - Prinsip Tadbir Urus Baik bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (PGG) akan menjadi rujukan tunggal asas tadbir urus dan amalan kemampanan semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, PGG berteraskan tiga prinsip utama iaitu kepimpinan dan keberkesanan lembaga pengarah; memastikan komposisi lembaga pengarah yang optimum, berkelayakan dan berwibawa dan menyokong pengendalian pelaburan dengan efektif.

 

“Bagi memastikan GLIC dikemudi dengan baik, PGG memberi penekanan terhadap peranan dan tangunggjawab lembaga pengarah.

 

“Semua pengarah harus memimpin melalui teladan berdasarkan prinsip, serta kewajipan dalam ketelitian, ketelusan, dan kesetiaan,” katanya pada majlis pelancaran PGG, hari ini lapor Bernama.

 

GLIC terdiri daripada enam organisasi iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Khazanah Nasional Berhad, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 

Jumlah keseluruhan aset di bawah kawalan keenam-enam GLIC ini adalah RM1.7 trilion, menjadikan GLIC sebagai antara tonggak utama dalam pembangunan sosioekonomi negara.

 

Beliau berkata, PGG merupakan sebahagian daripada Program Penyusunan Semula GLIC dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diterajui Kementerian Kewangan sejak 18 bulan yang lalu, merangkumi Program Memperkukuh Institusi Pelaburan Milik Kerajaan.

 

Katanya, PGG telah mengambil kira perkembangan semasa dan perbincangan berkaitan prinsip dan amalan tadbir tadbir urus terbaik di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuk Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada 2021.

 

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, PGG juga menyarankan penubuhan struktur tadbir urus bagi pengawasan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam strategi pelaburan masa hadapan.

 

“Ada pelbagai data yang menunjukkan bahawa syarikat yang memberi tumpuan kepada isu ESG telah berjaya mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti pekerja, mengurangkan pelbagai risiko, dan mencipta lebih banyak peluang perniagaan.

 

“Tambahan pula, pandemik COVID-19 telah banyak membuktikan dengan jelas bahawa syarikat korporat yang sentiasa bersedia dan mengamalkan tadbir urus yang baik memiliki kelebihan dari segi daya tahan,” katanya. - DagangNews.com