Philip Morris Malaysia diiktiraf majikan terbaik di Malaysia, Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

Philip Morris Malaysia diiktiraf majikan terbaik di Malaysia, Asia Pasifik

 Pengarah Urusan PMM, Naeem Khan (tengah) memegang trofi penghargaan dan sijil bersama Pengarah Hal Ehwal Luar PMM, Shahrul Shaari (kiri) dan Ketua Komunikasi Korporat PMM, Veronica Choo (kanan).

Pengarah Urusan PMM, Naeem Khan (tengah) memegang trofi penghargaan dan sijil bersama Pengarah Hal Ehwal Luar PMM, Shahrul Shaari (kiri) dan Ketua Komunikasi Korporat PMM, Veronica Choo (kanan).
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Mac. - Syarikat pengeluar rokok dan tembakau, Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd (PMM) berjaya diiktiraf sebagai Majikan Terbaik di Malaysia dan rantau Asia Pasifik bagi tahun kedua berturut-turut oleh Top Employers Institute.

 

Pengarah Urusan PMM, Naeem Khan berkata, pengiktirafan tersebut adalah bukti kepada usaha  kakitangannya yang hebat untuk membawa konsep bebas asap rokok pada masa hadapan di Malaysia meskipun berdepan dengan tahun yang mencabar.

 

"Kakitangan kami tidak terkesan dengan cabaran dan impak pendemik global, mereka terus menghasilkan kesan yang positif dalam kehidupan berjuta-juta perokok dewasa di Malaysia termasuk keluarga dan komuniti.

 

"Kerja keras dan komitmen yang ditunjukkan adalah tidak meragukan sekali gus menjadi kunci untuk mencapai visi kami iaitu masa hadapan yang bebas asap rokok.

 

"Setiap kakitangan di PMM memiliki bahagian yang sama dalam membangunkan suasana pekerjaan yang kolaboratif dan inklusif yang menilai kesemua pendapat selain memiliki akses yang sama kepada alat dan peluang yang membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam kerjaya prosfesional," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Top Employers Institute, David Plink memberitahu, meskipun berdepan dengan tempoh mencabar, Philip Morris Malaysia berjaya menunjukkan prestasi yang baik dengan menempatkan kakitangan yang utama di tempat kerja.

 

"Kami bangga membuat pengumuman tahun ini dan mengucapkan tahniah kepada organisasi yang telah menerima pengesahan di Asia Pasifik melalui program Employers Institute," kata beliau.

 

Program Top Employers Institute memberi pengesahan kepada syarikat berdasarkan kepada penyertaan dan hasil Tinjauan Amalan Terbaik HR.

 

Tinjauan berkenaan merangkumi enam domain HR yang terdiri daripada 20 tajuk seperti strategi manusia, persekitaran kerja, pemerolehan bakat, pembelajaran dan lain-lain.

 

Setiap tahun, Top Employers Institute akan memberi pengiktirafan kepada syarikat yang memberi keutamaan kepada kakitangan melalui polisi HR.

 

Program berkenaan telah mengiktiraf lebih daripada 1,600 Majikan Terbaik di 120 negara dan wilayah di lima benua. - DagangNews.com