Phillip Capital mulakan liputan ke atas TT Vision dengan saranan 'beli', TP RM1.50 sesaham | DagangNews Skip to main content

Phillip Capital mulakan liputan ke atas TT Vision dengan saranan 'beli', TP RM1.50 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jun - Phillip Capital memulakan liputan ke atas TT Vision Holdings Bhd dengan saranan 'beli' dan harga sasaran RM1.50 sesaham.

 

Katanya, kumpulan itu dijangka menerima manfaat daripada kemajuan global dalam sektor penggunaan tenaga solar dan jangkaan pemulihan sektor semikonduktor.

 

Firma penyelidikan itu berkata, inovasi produk baharu, pengembangan kapasiti dan usaha sama baharu yang ditubuhkan dengan ATW, anak syarikat Wuxi Autowell (ATW) Technology Co Ltd yang tersenarai di China, akan memacu pengembangan margin dan pertumbuhan keuntungan pada tahun-tahun akan datang.

 

"Inovasi produk baharu dan peningkatan berterusan tawaran sedia ada akan meningkatkan daya saing kumpulan dan menghasilkan prospek yang lebih baik.

 

"Pemindahan rantaian bekalan global yang berterusan oleh syarikat multinasional global seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, First Solar, Maxeon dan Hanwha Qcells menetapkan peringkat untuk trend pertumbuhan berbilang tahun yang memihak kepada TT Vision," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Phillip Capital mengunjurkan kadar pertumbuhan untung bersih terkompaun sebanyak 36% untuk kumpulan itu disokong keupayaannya meriah pesanan tenaga solar dan semikonduktor lebih tinggi daripada pelanggan sedia ada dan baharu.

 

Katanya, ia juga disokong oleh keuntungan bahagian pasaran global dan pembenagan margin melalui inovasi produk baharu dan memanfaatkan kelebihan operasi. 

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana pendedahannya kepada industri solar selain pendedahan tidak langsung kepada Wuxi melalui kerjasama baharu, perkembanan produknya yang inovatif dan prospek pertumbuhan pendapatan yang kukuh," katanya. - DagangNews.com