P.I.E. Industrial dijangka lebih kukuh pada suku keempat didorong unjuran peningkatan tempahan pelanggan utama – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

P.I.E. Industrial dijangka lebih kukuh pada suku keempat didorong unjuran peningkatan tempahan pelanggan utama – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - P.I.E. Industrial Berhad dijangka lebih kukuh pada suku keempat didorong unjuran peningkatan tempahan untuk pelanggan utamanya, sejajar dengan peningkatan bermusim.

 

Kenanga Research berkata ini berdasarkan permintaan lebih tinggi untuk peranti berkaitan komunikasi daripada Pelanggan M untuk kegunaan ketenteraan disebabkan ketegangan geopolitik yang memuncak di Timur Tengah.

 

Di samping itu, kumpulan tersebut mendapat tempahan semula daripada Pelanggan A dan terdapat peningkatan beransur-ansur model baharu untuk Pelanggan N yang dijangka dilancarkan pada 2024.

 

“Selain itu, P.I.E. Industrial telah mendapat empat pelanggan baharu dengan produk yang bertumpukan penderia, dron, peranti perubatan dan peranti rumah pintar.

 

“Oleh itu, kumpulan berkenaan komited untuk meneruskan rancangan pengembangannya, membesarkan Kilang 5 sedia ada (100,000 kaki persegi) dan pembinaan Kilang 6 (275,000 kaki persegi),” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Oleh demikian, Kenanga Research menaikkan unjuran keuntungan bersih P.I.E. Industrial bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 5% untuk mengambil kira sumbangan lebih tinggi daripada empat pelanggan baharu kumpulan.

 

Dengan mengekalkan saranan ‘outperform’, firma itu turut menaikkan harga sasaran (TP) sebanyak 5% kepada RM3.80 sesaham daripada RM3.61 sebelumnya berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi FY24 sebanyak 18 kali yang tidak berubah, sejajar dengan purata syarikat seumpamanya.

 

Mengulas mengenai prestasi P.I.E Industrial dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), firma tersebut berkata keuntungan bersih kumpulan dalam tempoh berkenaan sebanyak RM45.6 juta merangkumi 67% dan 71% daripada unjuran tahun penuh firma dan konsensus.

 

Firma itu berkata ia menganggap keputusan dalam jangkaan kerana kumpulan itu dijangka lebih kukuh bersmusin pada suku keempat.

 

Pada pukul 11:18 pagi ini, saham P.I.E Industrial telah menokok 10 sen atau 3.2% kepada RM3.20 dengan permodalan pasarannya sebanyak RM1.2 bilion.  - DagangNews.com