Kecerdasan Buatan (AI) semakin pesat mengubah industri dan masyarakat di seluruh dunia, dan Malaysia tidak terkecuali. Di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia sedang memposisikan dirinya sebagai peneraju dalam inovasi AI.
Komitmen kerajaan terhadap AI terbukti melalui pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk mengintegrasikan AI ke dalam pelbagai sektor, meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.
Kerajaan telah merangka visi yang jelas untuk AI di Malaysia iaitu menjadikan Malaysia antara 20 negara teratas dalam teknologi AI.
Visi ini termasuk mewujudkan ekosistem AI kebangsaan, membangunkan sistem pengkomputeran awan AI, dan mempromosikan pembangunan AI yang bertanggungjawab dan beretika.
Meledaknya berita-berita pembinaan pusat-pusat data di seluruh negara, adalah berkait rapat dengan persediaan Malaysia menggunapakai teknologi AI ini dalam serba serbi kehidupan, baik di peringkat perkhidmatan awam mahupun swasta.
Paling terbaharu, Perdana Menteri menegaskan Malaysia kini lebih selektif dalam memilih pelaburan langsung asing (FDI) dengan menfokuskan kepada projek-projek yang memberi manfaat besar kepada negara, terutamanya dalam bidang AI dan teknologi data.
Pembukaan pusat data yang dahulunya bergantung kepada tenaga dan air yang murah untuk menggerakkan serta menyejukkan sistem-sistem operasi, kini menunjukkan kedua-dua elemen itu tidak mencukupi tanpa keupayaan teknologi yang dipertingkatkan.
“Sekarang, jika mahu (tubuhkan) pusat data, anda mesti ada AI,” kata Anwar sambil merujuk kepada projek seperti Nvidia di Johor yang menjadi contoh bagaimana teknologi sangat penting untuk kekal relevan di peringkat global dalam usaha menarik pelabur.
Ketekunan dan fokus kerajaan Malaysia di dalam mengenengahkan teknologi AI ini mendapat perhatian ramai di peringkat antarabangsa. Seorang daripadanya ialah Prof Jamiel Sheikh, Ketua Pegawai Eksekutif Modelex.AI, sebuah syarikat berpangkalan di New York.
Dalam wawancara bersama DagangNews, Prof Jamiel mengakui telah menyoroti inisiatif Malaysia seperti Pelan Tindakan AI Kebangsaan dan MY AI NEXUS, yang dijangka merevolusikan sektor-sektor utama seperti pembuatan dan kewangan.
Prof. Jamiel, seorang pakar terkemuka dalam bidang AI, blockchain, dan kewangan dengan pengalaman lebih 25 tahun, berkata penerimaan strategik Malaysia terhadap kecerdasan buatan membuka peluang besar untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, merangsang penciptaan pekerjaan, dan menempatkan negara sebagai perintis inovasi teknologi.
"Melalui inisiatif-inisiatif tersebut, negara ini meningkatkan produktiviti di seluruh sektor kritikal — seperti pembuatan dan kewangan — sambil memperkukuh kedudukannya dalam persaingan global," katanya kepada DagangNews.
Inisiatif MY AI NEXUS, yang dilancarkan secara rasmi pada Mei 2024 oleh Perdana Menteri, adalah program komprehensif yang bertujuan memposisikan Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi AI.
Di bawah teras-teras utama Ekonomi Madani: Tatakelola, Menaikkan Siling, dan Menaikkan Pendapatan Negara, strategi AI Malaysia selaras sepenuhnya dengan matlamat-matlamat ini.
Prof. Jamiel bagaimanapun berkata: “Untuk merealisasikan potensi transformasi AI sepenuhnya memerlukan pelaburan modal yang luar biasa, yang menimbulkan risiko besar bagi negara-negara kecil seperti Malaysia yang harus menangani kekangan sumber sambil bersaing di peringkat global.
“Sama pentingnya adalah perlindungan mendalam terhadap harta intelek, memastikan inovasi, terutamanya dalam kandungan yang dihasilkan AI, dilindungi di bawah undang-undang hak cipta yang ketat."
Insentif cukai
Untuk terus merangsang pertumbuhan, Prof. Jamiel mencadangkan agar kerajaan Malaysia mempertimbangkan potongan cukai yang disasarkan dan rangka kerja dasar yang menggalakkan pelaburan dalam AI. Beliau juga menekankan keperluan untuk mereformasi landskap akademik, yang bukan sahaja menerima AI generatif tetapi juga mengintegrasikannya ke dalam sistem pendidikan. “AI perlu dilihat sebagai aset, bukan gangguan,” tambahnya.
“Dengan mengutamakan pemulihan semula tenaga kerja, melabur dalam infrastruktur, mewujudkan rangka kerja peraturan etika, dan memupuk kerjasama awam-swasta, Malaysia bersedia untuk memanfaatkan kemampuan AI dan mendorong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berpandangan masa depan,” tegas Prof. Jamiel.
Pendekatan ini selaras dengan prinsip Tatakelola (Governance), memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pembangunan AI.
Penumpuan terhadap prinsip tatakelola ini adalah bagi memperkemas dan memperkukuhkan usaha pemantapan tatakelola dalam sistem pengurusan pentadbiran Kerajaan Malaysia.
Ia bertujuan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan tindakan segera, berfokus dan lebih berkesan diambil untuk menangani isu-isu berkaitan kelemahan tatakelola yang menyebabkan ketirisan hasil Kerajaan, pembaziran serta meningkatkan risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Prinsip tatakelola baik seperti kebertanggungjawaban, ketelusan dan keterangkuman diberi penekanan bagi meningatkan kualiti sektor awam serta memastikan perkhidmatan awam disampaikan dengan lebih berintegriti.
Prof. Jamiel juga menekankan bahawa dengan pelaburan dan dasar yang betul, Malaysia dapat mengubah cita-cita AI menjadi manfaat ekonomi yang nyata, memberikan contoh kepada negara-negara lain.
Visi ini menyokong prinsip Menaikkan Siling (Raising the Ceiling) dengan meningkatkan taraf ekonomi Malaysia dan menjadikannya destinasi pelaburan bertaraf dunia. - DagangNews.com