KUALA LUMPUR 15 Sept - Kerajaan menaikkan peratusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mahasiswa golongan M40 kategori M1 daripada 75 peratus kepada 100 peratus.
Serentak itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan kemudahan pinjaman komputer tiba kepada peminjam PTPTN daripada golongan M40.
Selain itu, katanya, kerajaan bersetuju memperluas Jualan Murah Keluarga Malaysia yang akan diadakan di setiap universiti selepas mahasiswa dijadualkan menjalani semester baharu, bulan depan.
Beliau berkata, keputusan itu dimuktamadkan kerajaan dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup ditanggung mahasiswa golongan M40 kategori M1.
"Kalau dulu pinjaman (PTPTN) kepada (mahasiswa) M40 (kategori) M1 hanyalah 75 peratus sahaja. Saya ingin mengumumkan pinjaman M40 (kategori) M1 dinaikkan kepada 100 peratus.
"Seterusnya adalah untuk laptop, kerajaan bersetuju menyediakan kemudahan pinjaman laptop kepada peminjam PTPTN golongan M40.
"Mahasiswa sekalian, banyak lagi yang akan diumumkan demi kepentingan anda semua. Marilah kita sama-sama berganding bahu dengan merealisasikan masa depan lebih gemilang untuk semua mahasiswa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.
Perdana Menteri juga menyeru agar mahasiswa terus berjuang kekalkan jati diri, budaya dan bahasa.
"Mahasiswa boleh memainkan peranan penting sebagai pembina bangsa dan memaknakan kemerdekaan seperti mana pembina bangsa terdahulu memperjuangkan kemerdekaan," ujar beliau.
Baru-baru ini kata Perdana Menteri lagi, pengarah filem tersohor negara, U-Wei Saari telah memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow apabila menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang menggunakan Bahasa Melayu.
"Justeru, saya menyeru seluruh mahasiswa Keluarga Malaysia untuk memberikan komitmen dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Ini adalah satu cara untuk menyatakan kecintaan kita kepada negara. Saya juga menggunakan Bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa.
Dalam konteks pendidikan tinggi, pada hemat beliau, banyak cara dan perkara yang boleh dilakukan dalam menzahirkan semangat patriotik.
"Perjuangan terpenting mahasiswa pada ketika ini adalah kekal menjadi satu benteng yang teguh, dalam memastikan hubungan Keluarga Malaysia yang majmuk terus erat.
"Semangat mencintai tanah air dalam kalangan mahasiswa hendaklah digilap dan terus dipupuk dan dipertahankan menerusi pelbagai wahana berbentuk kenegaraan.
"Saya percaya Mata Pelajaran Umum atau MPU yang dilaksanakan di IPT mampu memperteguh penghayatan mahasiswa sekalian kepada etika dan peradaban masyarakat pelbagai etnik di Malaysia," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com