PKNS, Affin Bank tawar pembiayaan ansuran rendah menerusi program Home Step Fast/i | DagangNews Skip to main content

PKNS, Affin Bank tawar pembiayaan ansuran rendah menerusi program Home Step Fast/i

Ibu pejabat PKNS di Shah Alam
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus menyokong pertumbuhan sosioekonomi negeri dengan menawarkan penyelesaian pembiayaan pada kadar menarik bagi pembeli rumah dengan kerjasama Affin Bank menerusi program Home Step Fast/i.

 

Kerjasama itu membolehkan pembeli membayar ansuran lebih rendah untuk tempoh lima tahun pertama pemilikan, dalam usaha meningkatkan tahap pemilikan rumah di Selangor.

 

Memorandum kerjasama (MoC) antara PKNS dan Affin Bank meliputi semua pembangunan kediaman PKNS yang sedang dalam pembinaan dan telah siap.

 

Dalam usaha menggiatkan lagi tahap pemilikan rumah di negeri itu, kerjasama dengan Affin Bank dalam program Home Step Fast/i menawarkan pembiayaan 90% dengan tambahan 5% diperuntukkan untuk Insurans Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTA) atau Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTT), yuran guaman dan dokumentasi, duti setem dan penilaian hartanah dan pilihan untuk membiayai sistem solar rumah.  

 

Pinjaman ini ditawarkan Affin Bank sehingga 30 tahun atau sehingga pelanggan mencapai umur 70 tahun. Kerjasama antara PKNS dan Affin Bank turut memberi sokongan kepada program ‘Rumah Selangorku'.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, di samping kualiti, reka bentuk dan lokasi mudah dituju, satu faktor penting dalam proses membuat keputusan pemilik rumah ialah ketermampuan.

 

“Memandangkan PKNS meramalkan proses pemulihan beransur-ansur dalam pertumbuhan perniagaan, kerjasama dengan Affin Bank dalam program Home Step Fast/i ini bertujuan mengukuhkan portfolio PKNS atas dasar dapat mengurangkan perbelanjaan awal pembeli.

 

“Berkat sokongan Affin Bank menerusi program ini, PKNS mahu menjadikan produk harga berpatutan kami lebih mudah didapati oleh orang ramai, terutamanya pembeli rumah muda yang mahu membeli rumah pertama mereka daripada pemaju hartanah bereputasi dengan rekod pencapaian kukuh membina rumah mampu milik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, MoC tersebut ditandatangani Mahmud bagi pihak PKNS dan Pengarah Urusan Bahagian Gadai Janji Affin Bank, Jessie Wong Yen Yee sambil disaksikan Pengarah Perikatan Strategik dan Pembiayaan Akhir Bahagian Gadai Janji Affin Bank, Kelvin Chin Kok Wai. 

 

Dalam perkembangan sama, Jessie pula berkata, mereka memahami cabaran yang dihadapi pembeli rumah pertama kali. 

 

"Membuat pilihan daripada pelbagai pembangunan yang ada sudah sukar, ditambah pula dengan keperluan menentukan  pembiayaan rumah paling sesuai dengan pilihan luas yang ditawarkan di pasaran,” katanya.

 

Usaha menjadikan pemilikan rumah dalam persekitaran yang serba lengkap lebih mudah memberikan ketenangan fikiran dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri. 

 

Usaha sama antara PKNS dan Affin Bank bertujuan mengatasi isu ketermampuan rumah yang dihadapi oleh pembeli rumah sedia ada dan bakal pembeli dan memang tepat pada masanya memandangkan projek terbaharu PKNS, Residensi Advena Seksyen 16 Shah Alam, yang ditawarkan pada harga kira-kira RM400,000 bakal dilancarkan pada bulan depan. - DagangNews.com