Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kiri) selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil Sederhana (MPUPK), Jumaat lalu.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Mei - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) mendapati sebanyak 52.7% usahawan yang majoritinya adalah perusahaan mikro dan informal terjejas teruk sepanjang tempoh pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, susulan itu kementerian akan membangunkan Pelan Usahawan Informal sebagai rangka tindakan untuk mentransformasi dan meningkatkan keupayaan usahawan informal termasuk mereka yang berada di pedalaman Sabah dan Sarawak.
Katanya, usaha pemulihan juga akan ditumpukan kepada usahawan mikro dan informal yang terjejas di seluruh negara.
"Kerajaan memandang serius masalah yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
"Sehubungan itu, Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil Sederhana (MPUPK) akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif bagi membantu menyegerakan pemulihan PKS melibatkan semua pemegang taruh yang terlibat dalam ekosistem keusahawanan," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
MPUPK yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan mesyuarat Jumaat lalu di Putrajaya yang mana beliau menekankan pentingnya semua pihak untuk mengambil tindakan proaktif dalam memastikan semua program dan inisiatif di bawah pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan secara teratur dan mengikut jadual.
Secara dasarnya, MPUPK merupakan platform tertinggi di peringkat nasional yang turut dianggotai Menteri-menteri Persekutuan, Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak, Ketua Setiausaha Negara dan Gabenor Bank Negara.
Melalui MPUPK, penglibatan sektor swasta akan dipertingkatkan bagi menyokong agenda pembangunan keusahawanan negara yang berdaya saing dan mapan.
Menurut Wan Junaidi, pada tahun lalu, institusi kewangan telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM257 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk pinjaman di bawah Dana Khas Bank Negara Malaysia (BNM) untuk PKS.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM67 bilion merupakan pinjaman yang baru pertama kali diluluskan kepada lebih 146,000 PKS.
Ini adalah selaras dengan permintaan pinjaman yang meningkat untuk modal kerja dalam persekitaran yang
mencabar pada ketika negara menghadapi pandemik COVID-19.
Sumbangan PKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merekodkan pencapaian sebanyak 38.9% pada 2019 dan dianggarkan kekal di antara 38.1% hingga 38.7% pada tahun lalu.
Bagi sumbangan eksport barangan dan perkhidmatan PKS, pula ia merangkumi 17.9% manakala sumbangan kepada guna tenaga di Malaysia sebanyak 48.4%.
"Namun, prestasi eksport PKS dianggarkan menurun kepada 13.4% pada 2020, susulan impak negatif pandemik COVID-19 ke atas usahawan dan PKS tempatan," katanya.
Dalam hal ini, beliau berkata, MPUPK turut memberi penelitian terhadap prestasi dan prospek ekonomi Malaysia
serta isu dan cabaran yang dihadapi tahun ini.
"Pada masa sama, MPUPK turut menekankan supaya aktiviti dan ekosistem pembiayaan perniagaan dari sektor
kewangan perlu lebih kondusif bagi menyokong pemulihan ekonomi negara," tambahnya. - DagangNews.com