PKP 2.0 ‘kikis’ RM10 bilion daripada KDNK  | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 ‘kikis’ RM10 bilion daripada KDNK 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Setiap dua minggu tempoh yang diambil bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka mengurangkan RM10 bilion atau 0.7% daripada unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini, iaitu 7.5%. 

 

CGS-CIMB menjangkakan kerugian ekonomi harian yang bakal dialami akibat PKP 2.0 akan bernilai RM0.75 bilion, lebih tinggi daripada nilai kerugian RM0.2 bilion akibat PKP Bersyarat (PKPB). 

 

Tetapi, jelas firma penyelidik itu, ini kurang ‘menyakitkan’ berbanding RM2.4 bilion kerugian harian yang terpaksa ditanggung negara pada PKP tahun lalu bermula Mac hingga Mei 2020. 

 

“Unjuran kami juga mengambil kira risiko penurunan yang timbul daripada kemungkinan penangguhan dalam pentadbiran pemberian vaksin COVID-19 dengan kerajaan menjangkakan bahawa ini memerlukan 18 bulan untuk menyuntik 70% hingga 80% penduduk berbanding dengan senario dasar vaksinasi kami pada akhir tahun 2021.

 

“Memandangkan terdapat risiko PKP akan dilanjutkan melebihi 26 Januari, suntikan dasar tambahan mungkin diperlukan untuk menyokong ekonomi,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Semalam, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKP untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

 

Langkah ini akan dilaksanakan secara berperingkat, di mana  PKP dikenakan ke atas enam  buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. 

 

Kedua, PKPB ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

 

Ketiga, PKPP pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

 

Tambah CSG-CIMB, kerajaan boleh mempercepat atau menambah langkah-langkah di bawah Belanjawan 2021, termasuk pembayaran tunai, walaupun fiskal terhad, terutama terdapat had siling hutang kerajaan.

 

Ini mungkin mengekang kemampuan untuk mengumumkan langkah-langkah rangsangan fiskal yang besar dalam waktu dekat.

 

“Dalam pada itu, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengkaji penurunan dasar monetari pada perjumpaan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menjelang 20 Januari ini dan tidak menolak pemotongan lanjut kadar dasar semalaman (OPR), kini pada paras 1.75%,” tambah firma penyelidik itu.

 

Kata CGS-CIMB, berita ini bukan sesuatu mengejutkan buat pasaran saham memandangkan kes baharu COVID-19 telah mencecah rekod tertinggi iaitu 3,027 pada 7 Januari lalu yang memberi tekanan ke atas hospital awam utama negara. 

 

Berdasarkan penilaian awal, PKP ini mungkin memberi impak negatif ke atas sektor arak, pengguna, perjudian, amanah pelaburan hartanah (REIT), penerbangan dan bank. 

 

“Secara keseluruhannya, sekatan baharu ini dijangka tidak memberi impak signifikan kepada perolehan KLCI jika tidak dilanjutkan melebihi dua minggu. 

 

“Bagaimanapun, ia akan menjejaskan sentimen pasaran susulan potensi perolehan yang merosot. Kami mengekalkan unjuran KLCI pada paras 1,759 pada penghujung 2021, walaupun kami menjangkakan sentimen jangka pendek akan dijejaskan oleh kebimbangan risiko perolehan syarikat,” tambah firma penyelidik itu lagi. - DagangNews.com