PKP 2.0: Malaysia rugi RM600 juta setiap hari - Menteri Kewangan | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0: Malaysia rugi RM600 juta setiap hari - Menteri Kewangan

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Malaysia dijangka mencatatkan kerugian sehingga RM600 juta setiap hari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. 

 

Walaubagaimanapun, angka itu jauh lebih rendah daripada nilai kerugian harian, RM2.4 bilion yang terpaksa ditanggung negara semasa PKP pada tahun lalu. 

 

Ini susulan PKP 2.0 membenarkan lima sektor utama untuk terus beroperasi sementara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro pula boleh dibuka, jelas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

 

“Walaupun sektor-sektor ini masih beroperasi, kita tidak boleh membiarkannya kepada keadaan (dan perlu bersedia).

 

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

“Tempoh pelaksanaan PKP kali ini turut bergantung kepada kawalan penularan kes jangkitan COVID-19,” katanya dalam sesi taklimat media mengenai pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), menurut Bernama. 

 

Lima sektor terbabit adalah pengilangan dan pembuatan; pembinaan; perkhidmatan; perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan juga komoditi.

 

Mengulas mengenai bantuan Permai, Tengku Zafrul mendedahkan pakej rangsangan itu dirangka khusus bagi perniagaan yang tidak dapat dijalankan seperti biasa.

 

Permai juga membantu kerajaan untuk mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat ini.

 

Malah, unjuran defisit fiskal kekal pada 5.4% walaupun kerajaan memberi peruntukan RM15 bilion dengan suntikan fiskal tambahan RM6.6 bilion melalui PERMAI. 

 

Menurutnya, KDNK Malaysia bagi suku ketiga 2020 yang mencatatkan penguncupan 2.7% antara terbaik dalam kalangan negara-negara ASEAN jika dibandingkan dengan Singapura (-7%), Indonesia (-3.5%), Filipina (-11.5%) serta negara maju seperti Amerika Syarikat (-2.9%). - DagangNews.com