PKP 2.0 : Penganalisis unjur KDNK 2021 lebih rendah  | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 : Penganalisis unjur KDNK 2021 lebih rendah 

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini disemak semula lebih rendah susulan langkah kerajaan melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) di 6 negeri sejak 13 Januari lalu. 

 

Kerajaan sebelum ini mengunjurkan negara akan mencatat pertumbuhan ekonomi antara 6.5 hingga 7.5% bagi 2021. 

 

UOB Bank menjangkakan KDNK 2021 berkembang 5% berbanding 6% sebelum ini apabila pelaksanaan PKP 2.0 setiap 2 minggu dilihat mengikis 0.4% daripada pertumbuhan ekonomi dengan anggaran kerugian sehingga RM5 bilion.  

 

Berdasarkan penilaian firma itu, PKP akan mengurangkan 1% daripada keseluruhan pertumbuhan KDNK 2021 dengan kerugian kepada ekonomi dianggarkan RM12 bilion. 

 

Anggaran ini mengambil kira PKP melibatkan 6 negeri yang mana ia menyumbang 66.3% kepada KDNK negara dengan sekurang-kurangnya 4 minggu dan sektor utama beroperasi pada kapasiti 70%. 

 

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, lebih banyak negeri mula diletakkan di bawah PKP termasuk Kelantan, Sarawak dan Negeri Sembilan. 

 

"Kami juga amat berhati-hati kerana terdapat kemungkinan PKP ini akan dilanjutkan lagi dengan mengambil kira situasi pandemik. 

 

"Sudah tentu ini akan memberi kesan kepada penggunaan swasta dan perbelanjaan menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina. Dalam masa sama, kadar pengangguran juga masih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dalam perutusan khas mengumumkan pakej Permai bernilai RM15 bilion berkata, impak PKP semasa ke atas ekonomi masih terkawal memandangkan lebih banyak aktviti ekonomi dibenarkan beroperasi.

 

Beliau juga menegaskan pengisytiharan darurat sehingga 1 Ogos 2021 adalah semata-mata bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 yang kini menjadi ancaman terbesar terhadap pembangunan sosioekonomi negara. 

 

Sehubungan itu, menurut UOB, fiskal semasa dan dasar monetari akan terus menyokong pemulihan pertumbuhan ekonomi yang bergerak seiring dengan pelan vaksinasi dijadualkan bermula akhir suku pertama 2021. 

 

"Meskipun kami menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan dikurangkan 25 mata asas kepada 1.50% tetapi tekanan mungkin berkurangan kerana penilaian kerajaan terhadap PKP 2.0 masih kekal terurus.

 

"Tetapi, ini juga sudah tentu bergantung kepada sejauh mana ekonomi global akan pulih, pelan vaksinasi dan situasi pandemik," katanya. 

 

PKP kali pertama yang dilaksanakan 18 Mac lalu selama 3 bulan menyebabkan ekonomi Malaysia menguncup 17.1% pada suku kedua 2020, kadar terendah sejak suku keempat 1998 iaitu -11.2%.

 

Prestasi ekonomi pada suku yang dikaji itu jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan yang dicatatkan masing-masing 0.7% pada suku pertama 2020 dan 4.8% pada suku kedua 2019.

 

Prospek pertumbuhan untuk 2020 juga kekal antara -5.5 hingga -3.5 setelah ekonomi suku ketiga menyusut pada kadar kecil, 2.7%.

 

Bagaimanapun, ketika pembentangan prestasi KDNK suku ketiga 2020 pada November lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, trajektori pertumbuhan negara untuk 2021 kekal di landasannya dalam persekitaran petunjuk yang positif dalam ekonomi walaupun terdapat peningkatan semula virus dan pelaksanaan langkah-langkah untuk membendungnya.

 

BNM sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 5.5 hingga 8% pada 2021, manakala Kementerian Kewangan dalam Prospek Ekonominya, menilai ekonomi akan berkembang antara 6.5 hingga 7.5%. 

 

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menjangkakan penggunaan swasta akan lebih terkesan dengan pelaksanaan PKP 2.0 dengan sektor itu disemak menurun kepada 7.1% berbanding 8.5% sebelum ini. 

 

Malah, firma itu juga menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2021 kepada 5.4% berbanding 6.3% yang dibuat dengan anggaran PKP itu akan dilanjutkan selama 4 minggu berbanding 2 minggu seperti diumumkan kerajaan, minggu lalu. 

 

"Semakan semula ini mencerminkan prospek pertumbuhan yang lebih konservatif di tengah-tengah langkah yang lebih ketat dikuatkuasakan dan juga penyelarasan kepada jangka masa pertumbuhan," katanya. 

 

Bagaimanapun, katanya, pengumuman pakej Permai dilihat boleh mengimbangi tekanan dalam penggunaan swasta dalam tempoh terdekat, tetapi impaknya tidak terlalu banyak. 

 

Ini kerana penganalisis menjangkakan perbelanjaan sebenar fiskal oleh kerajaan adalah sekitar RM4 hingga RM5 bilion. 

 

"Bagi tahun ini secara keseluruhan, sokongan fiskal dijangka terus meluas. Sama ada keadaan kembali normal atau tidak, ia tidak dijangka sekurang-kurangnya sehingga suku ketiga 2021," katanya. 

 

Senada dengan RHB IB, UOB Bank turut menganggarkan pakej itu melibatkan peruntukan sekitar RM4 bilion daripada keseluruhan Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion. 

 

"Dengan anggaran itu, ia hanya merangkumi 27% sahaja daripada Permai, memandangkan kebanyakan inisiatif yang diumumkan di bawah pakej itu adalah lanjutan dan juga yang sedang berjalan manakala kerajaan mengulangi langkah-langkah sebelum ini," katanya. 

 

UOB Bank menjangkakan impak yang minimum kepada sasaran fiskal kerajaan, kira-kira 5.7% kepada KDNK 2021. - DagangNews.com