PKP 2.0 perlahankan ekonomi pada kadar 6.2% - MIDF | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 perlahankan ekonomi pada kadar 6.2% - MIDF

PKP 2.0 perlahankan ekonomi pada kadar 6.2%

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua di enam buah negeri bermula 13 hingga 26 Januari 2021 dilihat memberi kesan kepada prestasi ekonomi negara.

 

MIDF Research berkata, pengumumuan yang dibuat Perdana Menteri itu mengheret penurunan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga 0.8 mata peratusan (ppt).

 

"Dengan kata lain, ini akan mengakibatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih perlahan pada tahun ini dengan kadar 6.2% tahun ke tahun berbanding unjuran 7%.

 

"Secara komulatif, semua negeri dan wilayah persekutuan yang dikenakan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyumbang hampir 90% daripada KDNK Malaysia," jelas MIDF Research dalam satu nota kajian hari ini.

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilaksanakan semula buat kali kedua melibatkan enam buah negeri iaitu  Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. 

 

Baca: Kebimbangan terjawab, 6 negeri dikenakan PKP selama 14 hari

 

Enam buah negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pula dikenakan PKPB.

 

Bagi Perlis dan Sarawak, pelaksanaan PKPP dikenakan dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

 

Tambah MIDF Research, meskipun PKP 2.0 turut mengenakan sekatan perjalanan, namun ia dilihat sedikit longgar berbanding PKP kali pertama pada tahun lalu.

 

Hal ini kerana, lima sektor penting ekonomi dibenarkan beroperasi yang melibatkan sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, perladangan dan komoditi.

 

Mengulas lanjut, MIDF memberitahu, PKP 2.0 kali ini mempunyai 'cahaya di hujung terowong' kerana Malaysia menanti kehadiran vaksin menjelang Februari 2021.

 

Malaysia dijangka menerima vaksin Pfizer Tahap 1 pada akhir Februari nanti.

 

Susulan itu, MIDF Research mengekalkan harapannya bahawa vaksin akan tersedia secara meluas menjelang separuh kedua tahun semasa 2021. - DagangNews.com