PKP COVID-19 jejaskan hasil Petronas Dagangan | DagangNews Skip to main content

PKP COVID-19 jejaskan hasil Petronas Dagangan

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, turut memberi kesan terhadap prestasi Petronas Dagangan Bhd (PDB) yang mencatat penurunan keuntungan bersih kepada RM3.51 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun lalu, berbandin RM172.75 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Hasil kumpulan turun sebanyak RM4.67 bilion kepada RM2.93 bilion daripada RM7.6 bilion disebabkan penurunan kuantiti jualan sebanyak 39 peratus dan purata harga jualan rendah sebanyak 37 peratus, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh enam bulan, Petronas Dagangan mencatatkan kerugian bersih RM25.91 juta berbanding keuntungan bersih RM463.94 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala hasil berjumlah RM9.48 billon berbanding RM14.69 bilion.

“Syarikat terus berdepan keadaan pasaran yang mencabar pada Suku Kedua 2020 disebabkan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP. 

“Ini membawa kepada pengurangan kuantiti jualan dan hasil syarikat terutamanya daripada tempoh pertengahan Mac hingga April 2020, dengan pemulihan perlahan-lahan pada awal Mei 2020 dan seterusnya,” kata PDB. 

Syarikat itu berkata kemerosotan permintaan minyak petrol dan diesel itu juga sejajar dengan penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menguncup 17.1% berbanding pertumbuhan 0.7% pada Suku Pertama 2020.

“Penutupan perniagaan pembuatan barangan bukan penting dan pembinaan telah menjejaskan permintaan diesel komersial,” kata PDB sambil menambah permintaan terhadap bahan api komersial terus terjejas oleh sekatan perjalanan global.

Ia berkata harga purata Brent pada Suku Kedua 2020 turun sebanyak 41.5% kepada AS$29.20 setong daripada AS$50.26 pada Suku Pertama 2020, dan harga itu dijangka kekal tidak menentu.  

PDB berkata pada masa depan ia menjangka operasinya bertambah baik memandangkan kerajaan telah melonggarkan pelaksanaan PKP dan perniagaan telah menyambung kembali operasi kecuali sektor penerbangan yang dijangka mengambil masa lebih lama untuk pulih. 

“PDB komited untuk menumpukan kepada inisiatif penambahbaikan perniagaannya, mengukuhkan pengurusan inventori, menambah baik bekalan dan pengedaran dengan lebih cekap lagi serta mengoptimumkan perbelanjaan operasi bagi memastikan syarikat kekal berdaya tahan semasa tempoh mencabar ini,” kata syarikat itu. - DagangNews.com