PKP masih jejaskan pertumbuhan - MIDF Research  | DagangNews Skip to main content

PKP masih jejaskan pertumbuhan - MIDF Research 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 2 Feb. - Setelah melalui tahun 2020 yang penuh 'duka' akibat penularan pandemik COVID-19 yang dikesan di Wuhan, China sejak penghujung 2019, ramai mengharapkan tahun ini membawa sinar yang lebih baik. 

 

Bagaimanapun, harapan itu pudar apabila kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula 13 Januari lalu serentak dengan proklamasi darurat sehingga 1 Ogos. 

 

Sehingga hari ini, PKP 2.0 sudah memasuki minggu keempat dan dijangka berakhir 4 Februari walaupun ia masih mencetuskan tanda tanya sama ada dilanjutkan atau tidak. 

 

Jadi, apa berlaku kepada ekonomi negara bagi tempoh ini? MIDF Research dalam laporan ekonomi bulanan mempunyai analisisnya mengenai trend dan jangkaan pertumbuhan ekonomi terutama kesan PKP 2.0.

 

Indeks pelopor (IP)

 

Ekonomi Malaysia berada dalam trend pemulihan pada tahun ini meskipun pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai 13 Januari lalu akan terus mengheret turun kadar pertumbuhan negara. 

 

Ini berdasarkan kepada petunjuk indeks pelopor (LI) November 2020 yang berkembang 7.1% berbanding 6.3% pada bulan sebelumnya, menunjukkan pemulihan dalam aktiviti ekonomi terutama separuh pertama 2021.

 

Bagaimanapun, MIDF Research dalam nota kajian berkata, LI dijangka perlahan pada suku pertama ekoran pelaksanaan PKP 2.0 hampir di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

Namun, menurutnya, perkembangan vaksin COVID-19 akan merangsang sentimen ekonomi sekali gus membantu pemulihan pada masa hadapan. 

 

IP merupakan kaedah bagi menjangkakan kenaikan dan penurunan dalam ekonomi.

 

Pada Mac lalu, IP merekodkan penurunan bulanan terbesar sejak November 1991 berikutan pelaksanaan PKP selama 2 minggu mulai 18 Mac bagi membendung penularan COVID-19, menurut Jabatan Perangkaan.

 

Berdasarkan krisis ekonomi global yang berlaku sebelum ini, didapati apa yang dijangkakan oleh IP untuk 4 hingga 6 bulan ke hadapan mencerminkan realiti kemelesetan ekonomi yang bakal berlaku.

 

Prestasi eksport

 

Eksport Malaysia pada 2020 jatuh tahun lalu tetapi tidak seburuk berbanding 2019. Ia susut 1.4% pada 2020 berbanding 1% pada tahun sebelumnya, lebih rendah daripada unjuran MIDF iaitu 2.5%.

 

Import turut mengalami penurunan 6.3% berbanding 3.3% pada 2019, hampir menyamai unjuran 6.8%. Secara keseluruhan jumlah dagangan jatuh 3.6% berbanding 2% pada tahun lalu. 

 

Apabila import jatuh letih tinggi berbanding eksport, ini menyaksikan lebih dagangan berkembang 26.9% bernilai RM184.8 bilion dan dijangka menyumbang secara positif kepada KDNK Malaysia pada 2020. 

 

Sebelum pandemik, dagangan Malaysia sudah terkesan akibat tekanan perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang memuncak pada 2019. 

 

Pada Disember, eksport Malaysia mencecah paras 3 bulan tertinggi meningkat 10.8% manakala import meningkat 1.6% selepas 9 bulan mencatat pertumbuhan negatif. 

 

Indeks pengeluaran perindustrian (IPI)

 

IPI terus mencatat penurunan 2.2% pada November banding 0.5% pada bulan sebelumnya disebabkan kelemahan bagi pengeluaran perlombongan dan elektrik. 

 

MIDF Research mengunjurkan ia mencatat pertumbuhan kecil 0.2% ekoran meningkatnya eksport pada bulan tersebut. 

 

Mengikut sektor, pertumbuhan IPI bagi pembuatan terus menyederhana dalam pengeluaran produk elektrik dan elektronik (E&E), komputer dan peralatan perisian serta kenderaan bermotor lebih banyak berbanding pengeluaran makanan dan petroleum bertapis. 

 

Sektor perlombongan turut mencatat penurunan yang tinggi ekoran pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang rendah. 

 

Kadar pengangguran

 

Kadar pengangguran terus meningkat kepada 4.8% pada November berbanding 4.7% pada bulan sebelumnya, kenaikan bulan kedua berturut-turut.

 

Namun, MIDF Research menjangkakan ia tidak berubah pada 4.7% tetapi data rasmi menunjukkan pemulihan dalam pasaran buruh semakin lemah. 

 

Ini kerana gelombang ketiga pandemik menyebabkan aktiviti ekonomi merosot apabila PKP dilanjutkan dan rentas negeri tidak diperketatkan. 

 

Pada November tersebut, kadar pekerjaan menyusut 0.8% berbanding 0.4% pada Oktober manakala pengangguran meningkat 48.7% berbanding 46.1%.  

 

Perdagangan pengedaran

 

Perdagangan pengedaran bagi Malaysia menurun 1.2% pada November memandangkan pertumbuhan jualan kenderaan tidak cukup untuk mengimbangi penurunan dalam perdagangan borong dan jualan runcit. 

 

Keadaan ini disebabkan PKPB dilaksanakan pada Oktober 2020 bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang masih berterusan mencatat jangkitan yang tinggi.

 

Perdagangan borong merangkumi hampir keseluruhan perdagangan pengedaran terus merekodkan penurunan tetapi lebih rendah pada kadar 0.7% manakala jualan runcit jatuh 2.3%. 

 

Dalam pada itu, jualan kenderaan bermotor perlahan kepada 1.2%, menjadikan bulan kelima yang mencatat pertumbuhan positif.

 

Indeks harga pengguna (IHP)

 

IHP menyusut 1.4% pada Disember berbanding 1.7% pada November dengan pengangkutan, pakaian dan kasut mencatat deflasi pada bulan berkenaan.

 

Harga minyak runcit bagi RON 95, RON 97 dan diesel menurun pada bulan berkenaan pada tetapi pada kadar yang rendah. 

 

Pada 2020, IHP menurun 1.2% berbanding 0.7% tahun sebelumnya, tidak jauh daripada unjuran MIDF Research pada 1%, di tengah-tengah persekitaran pandemik COVID-19, menjadikan ia kejatuhan yang tidak pernah berlaku dalam tempoh beberapa dekad. 

 

Kadar dasar semalaman (OPR)

 

Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada 1.75% dan ia sejajar dengan unjuran firma penyelidikan itu. 

 

Malah bank pusat itu menjangkakan ekonomi global berada dalam landasan pemulihan di sebalik lonjakan kes COVID-19 dan langkah sekatan yang dilaksanakan. 

 

Bagaimanapun, sekatan terbaharu itu hanya memberi kesan sementara kepada ekonomi terutama pada awal 2021.

 

Secara keseluruhan, pandemik yang masih berlarutan akan memberi risiko kepada prospek pertumbuhan Malaysia dan global berikutan lonjakan kes dan juga pelancaran vaksin COVID-19 yang perlahan. 

 

Rizab Persekutuan AS 

 

Kadar faedah AS dikekalkan pada 0 hingga 0.25% selepas mesyuarat pertama FOMC tahun ini memandangkan pandemik COVID-19 akan terus menekan aktiviti ekonomi. 

 

Walaupun, vaksin dilihat akan membantu ekonomi AS keluar daripada krisis tetapi kes jangkitan juga masih kekal tinggi. - DagangNews.com