PKPB 2.0 berterusan heret ekonomi Malaysia menguncup - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

PKPB 2.0 berterusan heret ekonomi Malaysia menguncup - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali kedua akan berterusan ‘mengheret’ ekonomi Malaysia atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup pada suku keempat 2020 (4Q20).

 

PKPB 2.0 telah menjejaskan sentimen pengguna dan perniagaan sekali gus menyebabkan penurunan bulan ke bulan dari segi import barangan kapital sehingga 7.9% dan 1.5% penguncupan bagi import barangan pengguna. 

 

Dari segi eksport pula, jelas CGS-CIMB Research, walaupun sektor itu meningkat sebanyak 0.2% pada Oktober 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu, namun kadar itu di bawah jangkaan prestasi pasaran. 

 

“Bagaimanapun, kami menjangkakan pemulihan ekonomi global dan pengembangan dasar fiskal serta monetari yang akomodatif akan menyokong lonjakan semula pertumbuhan KDNK Malaysia daripada -5.0% pada 2020 kepada +7.5% pada 2021. 

 

“Menerusi penurunan 125 mata asas setakat ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka megekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% sehingga penghujung 2021, pada pandangan kami,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.

 

PKPB yang bersasar dan lebih longgar meletakkan impak terhad terhadap aktiviti pembuatan dengan sedikit penurunan dalam Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) kepada 48.5 pada Oktober (49.0 pada September).

 

Tetapi, import bagi barangan perantaraan meningkat 7.3% berbanding September 2020 dan menurun pada kadar yang lebih perlahan iaitu 6.1% berbanding tempoh sama tahun lalu, pada Oktober 2020. 

 

Bagi tempoh sama, lebihan perdagangan Malaysia meningkat kepada RM22.12 bilion, mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 25.9% berbanding tempoh sama tahun ini. 

 

Nilai itu juga merupakan lebihan perdagangan tertinggi pernah dicatatkan untuk bulan Oktober.

 

Eksport negara pula mencecah RM91.05 bilion bagi bulan sama, menokok 0.2% berbanding Oktober 2019, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) baru-baru ini.  - DagangNews.com