PKPB diperluas ke Wilayah Persekutuan Labuan bermula 17 Oktober | DagangNews Skip to main content

PKPB diperluas ke Wilayah Persekutuan Labuan bermula 17 Oktober

PKPB

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperluas ke Wilayah Persekutuan Labuan bermula 17 hingga 30 Oktober 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut diambil melihatkan kepada peningkatan jumlah kes positif di wilayah berkenaan.

"Sidang mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri hari ini membentangkan cadangan supaya Labuan dikenakan PKPB akibat peningkatan kes positif COVID-19.

 

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

 

"Mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Labuan berkuatkuasa mulai 17 hingga 30 Oktober 2020," katanya dalam sidang media khas yang disiarkan secara maya hari ini.

Tambah beliau, PKPB di Labuan membenarkan semua sektor atau aktiviti berkaitan ekonomi termasuk industri dan perkilangan untuk beroperasi.

 

Antara prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan untuk PKPB di Labuan adalah seperti berikut;

  • Hanya dua orang daripada satu rumah dibenarkan keluar mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain.
  • Individu berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas tidak digalakkan keluar.
  • Kenderaan yang membawa pekerja dibenarkan beroperasi berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.
  • Merentas negeri tidak dibenarkan, kecuali kes kecemasan bersama surat daripada PDRM.
  • Pekerja tidak memerluka pas atau surat majikan kerana mereka bergerak dalam satu daerah
  • Perkhidmatan pengangkutan air seperti feri roro, feri ekspres dan bot laju dibenarkan beroperasi hingga pukul 6 petang dengan kapasiti terhad dan penjarakan fizikal.
  • Perkhidmatan kapal perdagangan pertukaran barang tidak dibenarkan. 

 

Pada 12 Oktober lalu, DagangNews.com melaporkan pelaksanaan PKPB di Lembah Klang bermula 14 hingga 27 Oktober 2020, manakala PKPB di seluruh negeri Sabah dijalankan bermula 13 hingga 26 Oktober 2020.

Baca: Selangor, KL dan Putrajaya dikenakan PKPB bermula 14 Oktober

Kawalan tersebut dijalankan selepas mengambil kira peningkatan kes dan penularan yang berlaku di kawasan berkenaan.- DagangNews.com