PKPB lonjak penyertaan pelabur runcit dalam pasaran - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

PKPB lonjak penyertaan pelabur runcit dalam pasaran - CGS CIMB

 

ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 28 Okt. - Pelaksanaan semula perintah kawalan bergerakan bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sejak 14 Oktober lalu secara tidak langsung melonjakkan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran tempatan. 

Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng berkata, keadaan itu menyaksikan purata jumlah dagangan dan nilai perolehan harian masing-masing meningkat 32% dan 19% kepada 8.6 bilion unit dan RM5.2 bilion bagi minggu berakhir 23 Oktober lalu.  

Daripada jumlah itu, nilai saham dagangan pelabur runcit meningkat 38% berbanding 34.7% pada minggu sebelumnya manakala pelabur institusi pula 22.7% berbanding 24.9% sebelum itu. 

"Daripada keseluruhan dagangan institusi berjumlah RM11.8 bilion minggu lalu, 50.6% adalah domestik manakala 49.4% merupakan pelabur asing," katanya dalam laporan dana mingguan hari ini. 

Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan PKB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober tetapi kemudiannya ia dilanjutkan sehingga 9 November bagi mengekang penularan pandemik COVID-19. 

Semalam, sebanyak 835 kes baharu COVID-19 dilaporkan menjadikan keseluruhan 28,640 kes dan 238 kematian. Kawasan Lembah Klang masih mencatatkan peningkatan dengan 138 kes. 

Minggu lalu juga, pasaran tempatan juga menerima tekanan ekonan ketidaktentuan politik hingga mencetuskan cadangan pengisytiharan darurat pada Jumaat. 

Berdasarkan laporan tersebut, CGS-CIMB mendapati pelabur runcit tempatan merupakan penjual bersih ekuiti minggu lalu sebanyak RM464.7 juta berbanding 127.4 juta pada minggu sebelumnya. 

Menurut Ivy, pelabur institusi tempatan menjadi pelabur utama minggu lalu dalam pasaran tempatan dengan menjual RM119.4 juta ekuiti berbanding pembelian bersih RM192.7 juta ekuiti bagi minggu berakhir 16 Oktober lalu. 

"Kami berpendapat ini mungkin disebabkan kebimbangan terhadap pergelutan politik di Malaysia, peningkatan kes COVID-19 dan PKPB yang masih berjalan. 

"Faktor ini semua memberi kesan kepada hasil korporat," katanya. 

Bagaimanapun, jelasnya, pelabur asing masih meneruskan jualan dalam pasaran ekuiti Malaysia, tetapi aliran jualan minggu lalu lebih rendah sebanyak 9.6% kepada RM213.4 juta. 

"Bagi tempoh 2 Januari 2019 hingga 23 Oktober 2020, pelabur asing menjual RM33.9 bilion dalam ekuiti Malaysia tetapi ini diimbangi oleh pembelian bersih oleh pelabur institusi tempatan sebanyak RM16.2 bilion, pelabur runcit tempatan (RM14.6 bilion) dan penama tempatan (RM3.1 bilion)," katanya. - DagangNews.com