PKS masih hadapi masalah dalam operasi digital | DagangNews Skip to main content

PKS masih hadapi masalah dalam operasi digital

Digital

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini masih berdepan dengan masalah untuk menambah baik operasi perniagaan secara digital.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara tersebut dikesan melalui kaji selidik Digital PKS Malaysia 2018 yang dijalankan oleh SME Corp Malaysia dan Huawei Technologies Malaysia Sdn. Bhd.

"Kaji selidik mendapati bahawa PKS masih menghadapi masalah untuk menambah baik operasi perniagaan daripada pengkomputeran kepada digital.

"PKS menghadapi isu dari segi kos teknologi, infrastruktur dan kemahiran penggunaan digital dalam pengendalian operasi syarikat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

Dalam kenyataan yang sama, Wan Junaidi turut menekankan kepada peningkatan peratusan usahawan PKS dalam platform digital e-dagang.

Jelasnya, peningkatan jumlah usahawan PKS yang menyertai platform pendigitalan adalah termasuk dari kawasan luar bandar dan mereka yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

"Bagi tempoh 2016 hingga 31 Mei 2020, sebanyak 322,834 PKS telah menyertai platform e-dagang. Manakala 171,776 PKS telah menghadiri sesi latihan melalui pelbagai program daripada rakan strategik e-dagang, persatuan dan agensi kerajaan.

"Kaji selidik mengenai adaptasi ICT dalam kalangan PKS menunjukkan peningkatan dari aspek penglibatan PKS dalam perniagaan dalam talian iaitu sebanyak 26% kepada 37% pada tahun 2018," katanya lagi.

Bagi tahun 2019, penyertaan PKS dalam perniagaan dalam talian adalah 35.3%, manakala sebanyak 276,176 entiti telah berdaftar sebagai perniagaan dalam talian melalui pendaftaran di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Tambah beliau, kementeriannya serta agensi lain seperti INSKEN, SME Corp dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) telah menyediakan pelbagai program dan kursus secara dalam talian untuk membantu lebih ramai usahawan digital.

"Saya telah meminta kementerian dan semua agensi di bawah kementerian ini untuk memikirkan dan meneliti inisiatif baharu bagi membantu meningkatkan lagi jumlah usahawan e-dagang," ujarnya. - DagangNews.com