Planet Mahir lancar program Wakaf Komputer Riba untuk golongan B40 | DagangNews Skip to main content

Planet Mahir lancar program Wakaf Komputer Riba untuk golongan B40

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Prihatin dengan masalah pembelajaran atas talian yang dihadapi oleh pelajar golongan B40, Planet Mahir Sdn Bhd mengambil inisiatif bantuan menerusi Program Wakaf Komputer Riba (MAHIR Cakna).

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bantuan komputer riba yang diwakafkan oleh orang ramai itu akan dihulurkan khusus kepada pelajar B40 yang menyertai Program MAHIR Tutor di seluruh negara anjuran syarikat itu.

 

"Kita menyasarkan juga bantuan komputer riba yang diwakafkan itu kepada sekolah-sekolah yang menyertai program MAHIR Tutor bagi membolehkan pembelajaran atas talian oleh pelajar-pelajar golongan B40 lebih sempurna.

 

"Justeru, saya mengajak warga Malaysia yang prihatin untuk bersama-sama Planet Mahir untuk mewakafkan komputer riba untuk kita serahkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukannya", katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

 

Dr. Ramzi berkata, keutamaan bantuan komputer riba itu diberikan kepada pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, SPM 2021.

 

Program wakaf komputer riba itu jelas beliau lagi, dibuka untuk orang ramai menyumbang sehingga bulan Disember 2021.

 

Pemilihan pelajar yang akan diberikan bantuan komputer riba itu akan dicadangkan oleh pihak sekolah yang menyertai program MAHIR Tutor.

 

Untuk rekod, program MAHIR Tutor kini mempunyai 50,000 pelajar yang ditaja menerusi Program Wakaf Pendidikan.

 

mahir

 

Pihaknya juga menyasarkan untuk mengumpul sejumlah seribu unit komputer ribu daripada orang ramai yang sudi mewakafkannya.

 

Setakat ini, sejumlah 20 unit komputer riba telah diserahkan kepada pelajar B40 sejak Jun lalu.

 

Terbaru, dua pelajar B40 di sekitar Damansara, Muhammad Putra Aiman Painasir dan Nur Sayyidatul Jalilah Zukeply menerima sumbangan komputer riba daripada program wakaf berkenaan.

 

Planet Mahir, kata Datuk Dr. Ramzi turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak-pihak yang menyertai Program Wakaf Komputer Riba anjurannya itu.

 

"Kami utamakan sumbangan dalam bentuk komputer riba. Walau bagaimanapun, sumbangan dalam bentuk wang tunai tetap juga diterima dan kami akan membeli komputer riba dengan wang sumbangan tersebut bagi memudahkan pelajar-pelajar dapat terus menggunakannya," ujar beliau.

 

Orang ramai boleh menelefon 019-5240201 atau emel fatihah@planetmahir.com untuk menyertai program wakaf komputer riba itu.  - DagangNews.com