PLUS sumbang bantuan kepada 1,390 keluarga di sepanjang lebuh raya kendaliannya | DagangNews Skip to main content

PLUS sumbang bantuan kepada 1,390 keluarga di sepanjang lebuh raya kendaliannya

Sabariah Ujang (tengah), seorang asnaf yang berstatus ibu tunggal yang tinggal bersama dua orang anak menerima bakul makanan daripada Skuad Ambil Peduli PLUS. 
 

 


PETALING JAYA 17 Sept - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyampaikan bakul makanan yang telah memberi manfaat kepada 5,560 isi rumah daripada 1,390 keluarga yang tinggal di sepanjang 1,130km jajaran lebuh raya PLUS dan LPT2 menerusi kempen “Bersama Ambil Peduli” selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Prihatin.

 

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pihaknya sedar pandemik ini telah memberi kesan kepada kehidupan dan kesejahteraan kehidupan masyarakat terutamanya dari kumpulan B40.

 

Di sepanjang jajaran lebuh raya PLUS kata beliau, pihaknya mempunyai data keluarga daif yang memerlukan bantuan PLUS.

 

Katanya, pasukan Skuad Ambil Peduli ditubuhkan dengan dianggotai 313 sukarelawan daripada 17 seksyen operasi bagi mengenal pasti dan menyantuni 1,390 keluarga melalui penyampaian bakul makanan.

 

Menurutnya, Kempen Bersama Ambil Peduli ini amat bermakna kepada PLUS kerana dana kempen ini telah disumbangkan oleh 3,800 Warga PLUS dan sebahagiannya daripada syarikat.

 

''Ini juga adalah satu bukti budaya keprihatinan yang tinggi dalam kalangan warga kakitangan hasil dari prinsip kerja yang sentiasa menitik beratkan penjagaan pihak  berkepentingan PLUS yang lebih baik,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu, seorang penerima, Sabariah Ujang, ibu tunggal yang tidak bekerja dan mempunyai dua anak dari Kundur Tengah, Negeri Sembilan berkata, sumbangan daripada PLUS sangat membantu beliau dan keluarganya yang sangat terkesan berikutan pandemik yang panjang ini. 

 

“Alhamdulillah, terima kasih atas sumbangan bakul makanan ini. Sumbangan ini sangat bermakna kepada saya dan cucu,” luah Eddy Abdullah dari Tangkak yang  menjaga empat cucu setelah ayah mereka meninggal dunia.
 

 

PLUS
Pengurus Seksyen S2 PLUS, Mahadzir Maso’d (tengah) bersama Skuad Ambil Peduli PLUS menyampaikan bakul makanan kepada Eddy Abdullah, datuk yang menjaga empat orang cucu setelah ayah mereka meninggal dunia. 

 


Kempen Bersama Ambil Peduli ini merupakan antara inisiatif CSR PLUS yang dipergiatkan oleh syarikat. Selama lebih tiga dekad, PLUS telah menyantuni dan mempertingkatkan kesejahteraan kehidupan ribuan yang tinggal di sepanjang jajarannya.

 

Pada tahun 2020 ketika krisis pandemik bermula di negara, warga PLUS bersama-sama menyumbang sebanyak RM128,000 kepada Tabung Warga PLUS Prihatin dalam jangka masa yang pendek iaitu dua bulan, untuk membantu tujuh hospital di sepanjang jajaran lebuh rayanya, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Hospital Tuanku Jaafar, Hospital Melaka, Hospital Serdang, Hospital Tuanku Ampuan Rahimah dan Hospital Selayang, untuk sumbangan pembelian keperluan alatan perubatan menentang COVID-19.

 

Pihak syarikat turut menyumbang dana korporat sebanyak RM1.2 juta bagi tujuan yang sama kepada Hospital Kuala Lumpur and Hospital Sungai Buloh, yang merupakan hospital COVID-19 utama merawat dan menyelamatkan nyawa jutaan yang dijangkiti. 

 

Untuk maklumat lanjut berkenaan Inisiatif CSR & Kelestaran PLUSPLUS’ CSR, sila lawati laman web www.plus.com.my untuk muat turun Laporan Kelestarian PLUS 2020. - DagangNews.com