PM : Bajet 2023 fokus kebajikan Keluarga Malaysia, persediaan negara hadapi krisis lebih mencabar | DagangNews Skip to main content

PM : Bajet 2023 fokus kebajikan Keluarga Malaysia, persediaan negara hadapi krisis lebih mencabar

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia dalam pembentangan Bajet 2023, Oktober ini. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bajet itu juga adalah kesediaan negara berdepan kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini.

 

Menurut beliau, di sebalik berdepan dengan kenaikan inflasi dunia, perbelanjaan isi rumah dan perniagaan telah meningkat dan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

"Selepas hampir setahun menerajui pentadbiran negara, saya gembira melihat prestasi ekonomi negara kini berada di landasan kukuh untuk kembali pulih dan berdaya tahan.

 

"Ini dapat dilihat apabila Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat lalu mengumumkan prestasi suku kedua ekonomi negara pada tahun ini yang berkembang sebanyak 8.9% dengan disokong kegiatan ekonomi yang kembali normal.

 

"Prestasi suku kedua ini merupakan yang tertinggi dan terbaik di Asia Tenggara dan juga negara-negara utama di seluruh dunia," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam majlis hi-tea Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) bersama Perdana Menteri, hari ini.

 

Majlis itu diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-51 Pertama sejak ditubuhkan pada 1971.

 

Menurut Ismail Sabri, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan rekod baharu pada bulan Mei 2022 dengan merekodkan RM129.8 bilion, sekali gus menjadi jualan tertinggi sejak 2013.

 

Selain itu, katanya, jumlah dagangan Malaysia juga melepasi paras RM2 trilion buat pertama kalinya pada 2021, meningkat 24.9% berbanding tahun sebelumnya hasil prestasi memberangsangkan bagi eksport domestik dan eksport semula.

 

"Sejak negara beralih ke fasa Endemik, kadar pengangguran negara kembali menurun ke paras seperti
sebelum pandemik COVID-19 iaitu 3.8%.

 

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih bagi 2021 ialah sebanyak RM48.1 bilion, mengatasi tahun-tahun sebelum wabak COVID-19," katanya. - DagangNews.com