PM hargai penjawat awam potong gaji bantu negara lawan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

PM hargai penjawat awam potong gaji bantu negara lawan COVID-19


PUTRAJAYA 2 Jun - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih dan amat menghargai penjawat awam atas semangat solidariti untuk memerangi COVID-19 menerusi potongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) seperti diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, semalam.

 

Menurut Perdana Menteri, sumbangan oleh penjawat awam tidak termasuk petugas barisan hadapan dan kakitangan kerajaan Gred 1 hingga 28 ini akan dimasukkan ke Akaun Amanah Bencana COVID-19.

 

Menurut beliau, ia membuktikan kebersamaan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab bersama Kerajaan memerangi pandemik COVID-19. 

 

Beliau berkata, solidariti ini juga adalah cerminan sokongan penjawat awam terhadap perjuangan para 'frontliners' yang berusaha tanpa henti untuk membendung dan melindungi kita semua daripada jangkitan pandemik COVID-19.

 

"Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua kakitangan awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang lebih setahun menguruskan pandemik COVID-19 ini. 

 

"Saya doakan agar semua penjawat awam di seluruh negara, tidak kira apa pun peranan anda dalam perjuangan kita memerangi COVID-19 ini akan terus diberkati Allah SWT.

 

"Semoga kita semua dan Malaysia dilindungi daripada ancaman wabak ini. Insya-Allah," menurut Perdana Menteri dalam kenyataan yang disiarkan di dalam laman rasmi Facebook beliau hari ini. - DagangNews.com