PM Ismail Sabri masuk ke Fakulti Undang-Undang UM pada 1980 berdasarkan merit | DagangNews Skip to main content

PM Ismail Sabri masuk ke Fakulti Undang-Undang UM pada 1980 berdasarkan merit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - Kemasukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) pada 1980 adalah berasaskan merit selain membuktikan beliau layak menerima biasiswa semasa pengajiannya.

 

Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya telah ditubuhkan pada 1972 dan ketika Perdana Menteri menjadi mahasiswa di universiti itu, Naib Canselornya adalah Allahyarham Prof. DiRaja Dr. Ungku Abdul Aziz

 

Selain itu katanya, Dekan pertama fakulti adalah Allahyarham Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim yang merupakan seorang tokoh perundangan tersohor bukan hanya di Malaysia, malah di Singapura dan di rantau Asia yang cukup terkenal dengan sikap integriti serta kebijaksanaannya.  

 

"Ketika Perdana Menteri diterima masuk pada 1980, Allahyarham Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim merupakan Dekan yang menguruskan keseluruhan Fakulti. 

 

"Selaku Dekan pertama, standard yang beliau tetapkan untuk fakulti atau pelajar yang diterima masuk adalah amat tinggi dan tanpa kompromi terutama pencapaian akademik pelajar-pelajar. 

 

"Dengan sifat integriti yang amat tinggi, adalah sukar untuk sesiapa diterima masuk tanpa memenuhi kelayakan yang ditetapkan ke Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya sebagai penuntut," katanya dalam satu kenyataan, di Facebook hari ini.

 

shahrizat

 

Shahrizat menyifatkan dakwaan seorang pengguna Facebook, Andrew Peris yang mempertikaikan kelayakan pendidikan dan integriti Perdana Menteri ketika beliau diterima masuk untuk meneruskan pengajian Ijazah Perundangan (LLB) di Fakulti Undang-Undang UM bertujuan mencemar dan memburukkan imej Perdana Menteri selain mencalar reputasi Fakulti Undang-Undang UM.

 

shahrizat

 

"Walaupun Datuk Sri Ismail Sabri dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, beliau telah mengatasi cabaran dengan kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik sehingga mampu melakar sejarah apabila menjadi graduan pertama dari Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya yang dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia.

 

"Fakulti Undang-Undang UM adalah fakulti ulung di negara ini dan selepas hampir 50 tahun penubuhannya, ia berjaya melahirkan tokoh terkemuka seperti Ketua Hakim Negara dan Hakim, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli Jemaah Menteri, Peguam Negara, peguam dan ahli-ahli korporat yang disegani," katanya. - DagangNews.com