PM julung kali mempengerusikan EAC luar Lembah Klang | DagangNews Skip to main content

PM julung kali mempengerusikan EAC luar Lembah Klang

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini buat pertama kali menganjurkan mesyuaratnya di luar Lembah Klang.

Dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mesyuarat EAC kali ke-20 telah diadakan di Melaka.

EAC dalam satu kenyataan hari ini berkata, penganjuran mesyuarat di luar Lembah Klang itu merupakan sebahagian daripada usaha majlis tersebut untuk berinteraksi secara terus dengan rakyat dan industri, setelah beberapa siri lawatan dan tinjauan dilaksanakan di Lembah Klang.

“Program lawatan dan tinjauan ini juga merupakan sebahagian daripada tindakan susulan kepada pelbagai sesi libat urus dan perbincangan EAC bersama pelbagai sektor bagi memahami dengan lebih mendalam cabaran yang dihadapi oleh pelbagai pihak dalam menyegarkan semula ekonomi Negara semasa mendepani pandemik COVID-19 ini.

“Pada mesyuarat EAC kali ini, satu kertas bertajuk ‘Balancing Lives and Livelihoods – The Economic Impact of Business Travel Restrictions’ telah dibentangkan.

“Kertas ini dibincangkan bagi melihat impak larangan merentas sempadan antarabangsa kepada ekonomi Negara dan rakyat serta strategi dan langkah yang perlu diambil bagi menanganinya,” kata EAC.

Mesyuarat itu diadakan di Hotel Hatten di Banda Hilir, yang turut dihadiri oleh Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa Dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sejak ditubuhkan pada Mac lalu, mesyuarat itu diadakan pada setiap hari Isnin bagi menangani cabaran ekonomi negara yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19.

Sepanjang tempoh itu, EAC telah membincangkan 44 kertas dan membuat 97 keputusan setelah melihat secara terperinci pelbagai isu ekonomi yang dihadapi oleh pelbagai sektor terutamanya yang berkaitan dengan COVID-19, serta merangka langkah intervensi dan penyelesaian terhadapnya. – DagangNews.com