SEKINCHAN 20 Nov - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan amat memahami isu yang dihadapi para pesawah dan petani seluruh negara yang disebabkan oleh kenaikan harga baja dan racun.
Justeru, beliau berkata Kementerian Kewangan telah diarahkan untuk menyelesaikan perkara itu bagi memastikan harga dapat dikurangkan selain menyediakan bantuan tertentu bagi mengurangkan beban petani terutamanya pesawah.
“Kita berbincang perkara ini dalam Kabinet dan kita faham harga racun tinggi, harga padi tinggi, kos akan meningkat dan akan kurangkan dari segi pendapatan bersih para petani terutama pesawah-pesawah.
“Percayalah masalah rakyat, masalah pesawah adalah masalah kerajaan juga dan kita tidak akan biarkan bebanan tersebut ditanggung sendirian oleh pesawah dan petani seluruh negara, insya-Allah kita akan bantu,” katanya pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di sini, hari ini.
Ismail Sabri menjelaskan peningkatan harga baja dan racun adalah disebabkan barangan itu diimport dari luar negara.
Walaupun terdapat syarikat dalam negara termasuk koperasi dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengeluarkan baja serta racun, namun beliau berkata bahan mentah barangan itu juga diimport dari luar.
Perdana Menteri berkata, beras merupakan sumber bahan makanan utama negara dan sudah pasti produktiviti industri padi serta beras menjadi tumpuan sektor agromakanan negara memandangkan nasi merupakan makanan ruji rakyat Malaysia.
Bagi memastikan sumber makanan ini terjamin, selamat dan mencukupi, kerajaan sentiasa berusaha ke arah mencari kaedah-kaedah terbaik yang mampu meningkatkan penghasilan padi dan beras.
``Tidak dilupakan, kumpulan yang memainkan peranan penting dalam produktiviti industri padi dan beras ini adalah para pesawah dan petani yang arif soal isu dan cabaran melibatkan industri padi dan beras negara,'' kata Ismail Sabri. - DagangNews.com