KUALA LUMPUR 15 Ogos - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkongsi tiga harapan bagi mencorakkan semula sistem kesihatan negara supaya lebih berdaya tahan, fleksibel dan kalis pada masa hadapan.
Perdana Menteri berkata, pertama, beliau mahukan sistem kesihatan negara pada masa depan menyokong dan membantu Keluarga Malaysia kekal sihat dan bukan lagi menumpukan kepada rawatan dan intervensi selepas berpenyakit.
Beliau berkata, kedua, sistem kesihatan negara mampu memenuhi keperluan rawatan Keluarga Malaysia secara mampan dan berdaya tahan daripada semua cabaran termasuk dalam situasi pandemik global.
Ketiga jelasnya, sistem kesihatan negara menjadi kebanggaan Keluarga Malaysia kerana merasakan mereka adalah sebahagian daripadanya dan juga menghargai peranannya.
"Saya percaya bahawa anda juga berkongsi harapan yang sama dan transformasi sistem kesihatan negara perlu melibatkan pelbagai aspek termasuk menerapkan pendekatan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’, iaitu kesihatan adalah tanggungjawab bersama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Health Policy Summit 2022: The Future Of Our Healthcare - Health White Paper Development di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Menurut Ismail Sabri, pada masa sama keberkesanan sistem kesihatan negara tidak seharusnya digalas pihak Kementerian Kesihatan semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua pihak seperti pemegang taruh, sektor awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.
"Saya juga percaya, jika kita bersama-sama berganding bahu dan berusaha ke arah kebaikan, kita mampu ‘Mencorak Semula Perkhidmatan Kesihatan Untuk Keluarga Malaysia’," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pandemik juga memperlihatkan cabaran serius kesihatan dalam tahun-tahun yang mendatang termasuk isu penuaan penduduk yang memberi cabaran besar kepada sistem kesihatan dan sosial.
Beliau berkata, Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 apabila meningkatnya rakyat berumur 60 tahun ke atas iaitu lebih 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.
"Kadar prevalen penyakit dan permintaan penjagaan kesihatan pastinya meningkat kerana kos penjagaan kesihatan rakyat berumur 60 tahun ke atas dianggarkan dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang dewasa yang lebih muda.
"Selain itu, kadar penyakit tidak berjangkit juga meningkat apabila seorang daripada lima orang dewasa di negara ini menghidapi penyakit kencing manis dan seorang daripada tiga orang dewasa mengalami penyakit darah tinggi," katanya.
Berdasarkan statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, angka-angka ini sangat membimbangkan, kerana kebanyakannya tidak sedar mereka menghidapinya, dan seterusnya mengundang risiko kematian.
"Contohnya, sebanyak 87% pesakit COVID-19 yang maut merupakan mereka yang mengidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi.
"Selain itu, masalah kesihatan mental juga semakin meningkat apabila 2.3% golongan dewasa mengalami kemurungan dan 7.9% kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun berdepan masalah kesihatan mental, angka ini dijangka akan meningkat," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com