SEKINCHAN 20 Nov - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan baka padi baharu IS21, yang diinovasi oleh Agensi Nuklear Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada projek teknologi berimpak tinggi oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Beliau berkata, Agensi Nuklear Malaysia yang menghasilkan benih padi IS21 ini telah menerima pengiktirafan daripada International Atomic Energy Agency dan Food and Agriculture Organisation sempena Persidangan Agung kali ke-65 di Vienna, Austria pada bulan September baru-baru ini.
Menurutnya, pengiktirafan yang diterima adalah bagi Anugerah Pencapaian dalam Bidang Biak Baka Mutasi Tanaman.
``Benih padi IS21 ini adalah bukti kejayaan kerajaan melalui MOSTI dan Agensi Nuklear Malaysia yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
''Syabas dan tahniah diucapkan. Saya berharap MOSTI akan terus tampil dengan hasil penyelidikan dan pembangunan berkualiti yang mampu melakar lebih banyak kejayaan di masa hadapan,'' kata beliau pada Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Padi Asas dan Tapak Penyelidikan Padi, Sungai Leman, Sekinchan hari ini.
Perdana Menteri berkata, beberapa keistimewaan varieti benih padi IS21 ini ialah benih padi ini berdaya tahan tinggi terhadap cuaca yang tidak menentu dan mempunyai rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering menyerang dan merugikan pesawah.
Selain itu ujar beliau, baka padi IS21 ini juga berpotensi memberi hasil tuai yang tinggi dan dapat meningkatkan pendapatan para pesawah jika diurus dengan baik mengikut garis panduan yang disyorkan kerajaan.
``IS21 mampu mengeluarkan hasil padi sehingga 9 tan sehektar mengikut kawasan penanaman. Sementara itu, kos penanaman dapat dikurangkan sebanyak 10 hingga 20% kerana penggunaan baja dan racun perosak yang kurang.
''Hasil tuaian juga boleh meningkat sebanyak 40 sehingga 67%, bergantung kepada kawasan tanaman dan amalan kultura petani,'' kata Ismail Sabri.
Perdana Menteri berkata, inisiatif MOSTI menghasilkan varieti padi baharu IS21 ini adalah salah satu usaha pelengkap dalam usaha meningkatkan sekuriti makanan negara dan ia selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan tahap sara diri (self-sufficient level) padi negara, seterusnya mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import pada masa hadapan.
Katanya, mendukung Aspirasi Keluarga Malaysia, Bajet 2022 yang dibentangkan pada 29 Oktober baru-baru ini telah memperuntukkan sebanyak RM1.53 bilion3 bagi meneruskan program bantuan subsidi dan insentif kepada pengusaha tanaman padi yang bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kira-kira 300,000 pesawah di seluruh negara, dengan mengurangkan kos mereka sehingga 60% daripada jumlah keseluruhan kos pengeluaran padi.
Kerajaan juga kata Perdana Menteri, sedang mengalihkan orientasi pemberian subsidi dan insentif daripada input kepada output secara beransur-ansur, bertujuan menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah.
Menurut beliau, pendekatan ini dijangka berupaya mewujudkan persekitaran industri kawal selia kendiri seterusnya mengurangkan pembabitan serta pemantauan kerajaan di sepanjang rantaian pengeluaran padi.
''Saya berharap agar jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan yang terlibat dalam pengeluaran makanan negara dapat terus bekerjasama bagi memastikan sekuriti dan kemampanan makanan negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia secara amnya adalah terjamin.
``Selain itu, saya turut mengambil kesempatan ini melahirkan rasa bangga melihat kerjasama strategik rentas kementerian di antara MOSTI serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (atau MAFI) bagi benih padi IS21. Ini adalah bukti kesepakatan dan kebersamaan Keluarga Malaysia. Tahniah dan teruskan kerjasama erat ini,'' ujarnya.
Perdana Menteri menamatkan ucapannya dengan seangkap pantun:
Sawah padi luas terbentang,
Cantik warnanya di bawah mentari,
IS21 bukan calang-calang,
Benih padi nuklear dijamin berkualiti. - DagangNews.com