PM : Sebanyak RM1.8 bilion diperuntukkan hadapi Monsun Timur Laut di Pahang | DagangNews Skip to main content

PM : Sebanyak RM1.8 bilion diperuntukkan hadapi Monsun Timur Laut di Pahang

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kuantan, Pahang.

KUANTAN 29 Okt - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion dalam Bajet 2023 bagi menghadapi Monsun Timur Laut di Pahang melibatkan projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu disediakan di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai, termasuk di Kampung Tanjung Batu, Pekan dan Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera.

 

Katanya, selain itu, kos sebanyak RM6.07 juta turut diperuntukkan bagi projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di Cameron Highlands.

 

"Terdapat projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun Cameron Highlands yang melibatkan kos RM6.07 juta bagi mengurangkan masalah serta meningkatkan kelancaran sistem saliran," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kuantan, Pahang, pagi ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kanan Pertahanan selaku Menteri Peneraju Aspirasi Keluarga Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

 

Jelajah AKM di Pahang yang merupakan destinasi terakhir sebelum PRU15 yang akan berlangsung
pada 19 November ini.

 

Menurut Perdana Menteri, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM1.307 billion untuk menaik taraf jalan persekutuan di negeri tersebut, sekali gus akan membuka kawasan baharu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

 

"Sebanyak RM572.8 juta juga telah diperuntukkan bagi projek-projek pembinaan dan menaik taraf jambatan serta jejantas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan Keluarga Malaysia Pahang," jelasnya. - DagangNews.com