PM tinjau lokasi tragedi banjir puing di Baling | DagangNews Skip to main content

PM tinjau lokasi tragedi banjir puing di Baling

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir meninjau lokasi banjir puing dan jambatan Bailey di Kampung Iboi, Mukim Kupang. - Gambar BERNAMA

BALING 1 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meluangkan masa meninjau lokasi banjir puing di Kampung Iboi, Mukim Kupang di sini. 

 

Turut hadir dalam tinjauan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. 

 

Ismail Sabri kemudian mendengar taklimat Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah mengenai insiden banjir puing yang berlaku pada 4 Julai lepas. 

 

Beliau juga sempat beramah mesra dengan penduduk kampung daripada pelbagai lapisan umur yang nyata teruja apabila Perdana Menteri sanggup meluangkan masa bersembang dan berswafoto bersama mereka. 

 

Banjir puing yang berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam pada 4 Julai itu menjejaskan Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang di sini, lapor Bernama.

 

Insiden itu menyebabkan 15 keluarga hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah selain turut mengorbankan tiga sekeluarga. - DagangNews.com