KUALA LUMPUR 17 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada masyarakat India beragama Hindu di seluruh negara yang akan meraikannya esok.
Ismail Sabri berharap perayaan itu disambut dengan penuh pengertian yang mendalam, di samping menyambutnya bersama keluarga tersayang.
"Terapkan perayaan dengan amalan norma baharu untuk keselamatan diri kita, keluarga dan masyarakat kita. Selamat menyambut Hari Thaipusam," katanya menerusi catatan Facebook.
Perdana Menteri berkata, tanah air ini penuh keharmonian, silang budaya dan rakyatnya saling hormat menghormati.
"Kepelbagaian bangsa, agama dan budaya dalam kalangan rakyat juga menjadi sumber kekuatan Keluarga Malaysia," katanya. - DagangNews.com