KUALA LUMPUR 6 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada Mary Elizabeth Truss di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) baharu.
Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata, beliau berharap hubungan dua hala Malaysia-UK akan terus terjalin untuk kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
"Tahniah diucapkan kepada Puan Yang Terutama Mary Elizabeth Truss di atas lantikan sebagai Perdana Menteri United Kingdom.
"Selamat menjalankan tugas dan saya berharap agar hubungan dua hala Malaysia-UK akan terus terjalin untuk kesejahteraan rakyat kedua-dua negara," katanya.
Mary Elizabeth Truss atau Liz Truss, 47, dipilih sebagai Perdana Menteri UK ke-15 semalam, selepas mengalahkan pesaingnya yang merupakan bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak dengan 81,326 undian, berbanding Sunak (60,399) susulan peletakan jawatan Boris Johnson pada Julai lalu.
Kemenangan tersebut sekali gus menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri wanita ketiga buat negara itu selepas Margaret Thatcher dan Theresa May. - DagangNews.com