KUALA LUMPUR 28 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman sebagai Perdana Menteri negara itu yang baharu.
Ismail Sabri menerusi ciapan di Twitternya hari ini berkata, Malaysia akan terus mengukuhkan lagi hubungan dua hala di bawah pimpinan Mohammed khususnya dalam meneroka bidang kerjasama baharu dengan Arab Saudi.
"Setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Mulia Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Arab Saudi.
"Malaysia akan terus mengukuhkan lagi hubungan dua hala di bawah pimpinan YAM khususnya dalam meneroka bidang kerjasama baharu dengan Arab Saudi," katanya.
Terdahulu, Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud semalam melantik Mohammed sebagai Perdana Menteri baharu.
Ia merupakan sebahagian daripada rombakan kabinet, yang telah diperkenan Raja Salman. - DagangNews.com