PM umum dana tambahan RM100 juta untuk SPIM, RM30 juta BEEP | DagangNews Skip to main content

PM umum dana tambahan RM100 juta untuk SPIM, RM30 juta BEEP

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan di Kuala Lumpur pada 27 Jun 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Jun - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tambahan RM100 juta bagi pembiayaan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

 

Perdana Menteri turut mengumumkan tambahan sebanyak RM30 juta bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp).

 

"Saya dimaklumkan bahawa SPIM di bawah TEKUN yang diperuntukkan sebanyak RM200 juta oleh kerajaan sudah habis. Oleh itu, bagi kepentingan usahawan kecil, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta.

 

"Bagi BEEP di bawah SME Corp pula, peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2022 ini juga habis. Oleh itu, saya umumkan kerajaan meluluskan RM30 juta peruntukan tambahan bagi tujuan ini," katanya ketika berucap pada Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022, di sini hari ini.

 

Turut hadir adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar.

 

 

PM

 

 

SPIM ialah skim bagi membantu usahawan informal dan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan bencana banjir.

 

Ia disalurkan menerusi TEKUN Nasional menawarkan nilai pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa caj keuntungan dan moratorium selama 12 bulan.

 

BEEP pula adalah satu program khusus bertujuan untuk mewujud dan membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera yang berdaya saing, berdaya tahan dan dinamik melalui bantuan bersepadu dengan pendekatan bimbingan.

 

Perdana Menteri turut menyeru kepada para usahawan supaya turut mengambil peluang untuk memanfaatkan inisiatif yang telah disediakan pihak kerajaan untuk proses peralihan perniagaan konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi.

 

"Perkembangan pesat digital ekonomi wajar dimanfaatkan untuk tujuan pengembangan perniagaan.

 

"Ussteru, Kerajaan akan terus bersedia untuk membantu golongan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan program yang akan dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa,'' kata beliau.- DagangNews.com