PM umum kebenaran 11 jenis aktiviti ekonomi berkuatkuasa 16 Ogos 2021 | DagangNews Skip to main content

PM umum kebenaran 11 jenis aktiviti ekonomi berkuatkuasa 16 Ogos 2021

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

PUTRAJAYA 15 Ogos – Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran berkuatkuasa 16 Ogos 2021, melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di dalam Fasa 1, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Aktiviti ekonomi itu ialah:
1. Kedai cuci kereta
2. Kedai elektrik dan elektronik
3. Kedai barangan rumah dan peralatan dapur
4. Kedai perabot
5. Kedai peralatan sukan
6. Kedai aksesori kereta
7. Pusat pengedaran dan jualan kereta
8. Pasar pagi dan pasar tani sahaja
9. Kedai pakaian, fesyen dan aksesori
10.Kedai barang kemas
11.Kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja)

 

Perdana Menteri berkata, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan setelah berbincang dengan semua pemegang taruh (stakeholders) dalam sektor-sektor berkepentingan.

 

Beliau berkata, Kerajaan amat berharap, kemudahan-kemudahan yang diumumkan hari ini bukan sahaja dapat memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat dari sudut emosi dan kesihatan mental malah turut membantu memulihkan semula secara berperingkat situasi khususnya kumpulan yang terlibat dalam sektor ekonomi.

 

''Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis, MESTILAH BERTANGGUNGJAWAB SEPENUHNYA ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

 

''Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta SOP-SOP yang telah ditetapkan,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Perdana Menteri mengingatkan, jika berlaku jangkitan di premis yang menerima kemudahan-kemudahan ini, KKM akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenalpasti melanggar SOP.

 

''Sekali lagi saya ingin mengingatkan, kemudahan yang diberi bukan bermakna rakyat telah mendapat kebebasan mutlak. Setiap SOP, garis panduan dan prosedur mesti dipatuhi sebaiknya.

 

''Amalan pemakaian pelitup muka, melaksanakan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihatan kendiri juga mesti diteruskan oleh setiap lapisan masyarakat. Virus COVID-19 masih berada di persekitaran dan kita mestilah terus berjuang bersama-sama untuk memeranginya habis-habisan. InsyaAllah kita menang bersama,'' ujar beliau.

 

15ogos2021

 

 

KEMUDAHAN SEKTOR PERDAGANGAN DAN PENGEDARAN FASA 2 PPN

Kerajaan juga bersetuju membenarkan 11 aktiviti ekonomi di dalam sektor perdagangan dan pengedaran untuk kembali beroperasi di dalam Fasa 2 berkuatkuasa pada 16 Ogos 2021. Kesemua 11 aktiviti ekonomi ini adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di dalam Fasa 1.

 

Aktiviti-aktiviti ekonomi tersebut adalah seperti berikut:

1. Kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi;

2. Kedai barangan terpakai;

3. Kedai bunga dan nurseri;

4. Kedai kraftangan dan cenderahati;

5. Kedai antik;

6. Kedai alat permainan;

7. Kedai permaidani;

8. Kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif;

9. Kedai peralatan outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain);

10.Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi;

11.Kedai tembakau (termasuk vape dan rokok elektronik);

 

 

15ogos2021

 

 

Pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis MESTI menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap. – DagangNews.com