PM umum pakej bantuan tambahan, tidak sentuh sepatah pun hal Anwar | DagangNews Skip to main content

PM umum pakej bantuan tambahan, tidak sentuh sepatah pun hal Anwar

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pakej pemulihan ekonomi baharu tanpa menyentuh dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Sebaliknya, Muhyiddin merayu supaya rakyat menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan dengan baik pada masa ini. 

“Apa yang perlu ialah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan dan dukungan saudara dan saudari sekalian. 

“Ini penting supaya lebih banyak inisiatif untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat jelata dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh kerajaan,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas KITA PRIHATIN yang berlangsung dalam talian sebentar tadi. 

Pakej bantuan tambahan khusus iaitu Kerangka Inisiatif 7 Tambahan PRIHATIN, atau KITA PRIHATIN merupakan kesinambungan daripada bantuan-bantuan yang diperkenalkan sebelum ini termasuk Program Subsidi Upah 2.0, pembukaan semula permohonan Geran Khas PRIHATIN dan Bantuan Prihatin Nasional 2.0.

Bagi Program Subsidi Upah 2.0, kerajaan membuka permohonan bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2020 bagi majikan yang masih terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti sektor pelancongan dengan pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30% berbanding tahun lepas.

Kata Muhyiddin, bantuan subsidi upah itu diberi sehingga 3 bulan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja, dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja dan melibatkan peruntukan sebanyak RM 2.4 bilion.

 

program subsidi

 

“Saya juga telah menerima pelbagai maklum balas berhubung Program Subsidi Upah. Antaranya daripada mereka yang tidak layak menerima Program Subsidi Upah kerana tidak menepati syarat kelayakan berdaftar dengan PERKESO sebelum 1 April 2020. 

“Bagi memastikan golongan ini juga tidak tertinggal, Program Subsidi Upah 2.0 akan dibuka untuk syarikat yang berdaftar dengan PERKESO sehingga 31 Ogos 2020. Bagi permohonan baharu yang tidak pernah menerima bantuan di bawah Program Subsidi Upah, mereka akan layak menerima subsidi upah sehingga 6 bulan,” tambah Muhyiddin. 

Sebagai langkah memastikan lebih ramai peniaga mikro yang layak tetapi masih belum berkesempatan untuk mendapatkan GKP, kerajaan bersetuju untuk membuka semula permohonan GKP mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober 2020. 

 

GPK

 

Jelas Muhyiddin, GKP akan dibuka kepada peniaga mikro yang berdaftar atau memegang lesen berniaga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau Pihak Berkuasa Tempatan sehingga 31 Ogos 2020 dan bayaran disasarkan  dibuat mulai 25 November 2020.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mengambil kira kesukaran yang masih dihadapi oleh rakyat, kerajaan menyediakan bantuan tambahan melalui pemberian tunai di bawah Bantuan Prihatin Nasional 2.0 dengan peruntukan hampir RM7 bilion.

Jumlah bantuan yang akan disalurkan di bawah BPN 2.0 itu melibatkan RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40, RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang, RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40, dan RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang.

 

BPN

 

“Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung bulan Oktober 2020 dan keduanya, pada bulan Januari 2021. Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama bulan Oktober adalah sebanyak RM700 dan keduanya, pada bulan Januari 2021 adalah sebanyak RM300,” ujar Muhyiddin. 

Berhubung BPN 2.0, tiada permohonan perlu dibuat di mana bantuan akan disalurkan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini. 

Bagi mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN pula boleh membuat rayuan dan permohonan baharu. 

“Semua inisiatif khas di bawah KITA PRIHATIN ini akan melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM10 bilion. Ingatlah, setiap tindakan kita boleh menentukan bukan sahaja keselamatan diri kita, tetapi juga keselamatan orang-orang yang dekat dengan kita.

“Kita tidak boleh mengharapkan bantuan dari luar kerana negara-negara lain juga sedang bergelut menyelesaikan masalah mereka sendiri. Kita hanya dapat bergantung kepada sesama kita dalam sebuah keluarga besar rakyat Malaysia,” ujarnya. - DagangNews.com