PMI: Sektor pembuatan Malaysia pada Julai terus terjejas akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

PMI: Sektor pembuatan Malaysia pada Julai terus terjejas akibat COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Jangkitan COVID-19 yang kian menular di dalam negara terus menjejaskan sektor pembuatan pada bulan Julai 2021 apabila ia masih menonjolkan prestasi rendah. 

 

Walau bagaimanapun, prestasi sektor pembuatan pada Julai 2021 berjaya bertambah baik sedikit kepada paras 40.1 daripada 39.9 pada bulan sebelumnya, berdasarkan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) yang dikeluarkan IHS Markit, hari ini.

 

Mengulas mengenai dapatan PMI, Ketua Ahli Ekonomi Perniagaan di IHS Markit, Chris Williamson berkata, sektor pembuatan Malaysia terus terjejas akibat pandemik COVID-19 yang masih berlanjutan pada Julai, walaupun banyak syarikat sudah merancang lebih baik pada masa akan datang.

 

“Pengeluaran menyusut mendadak buat dua bulan berturut-turut susulan lonjakan jangkitan dan langkah pembendungan baru-baru ini beserta varian Delta telah menjejaskan permintaan dan rantaian bekalan. 

 

“Kedua-dua permintaan domestik dan tempahan eksport merosot dengan mendadak pada permulaan suku ketiga, sementara kelewatan pembekal terus meningkat pada kadar yang pantas, dicatatkan oleh tinjauan. 

 

“Terdapat berita lebih baik dari segi prospek, syarikat menjadi lebih optimis setelah peningkatan varian Delta telah menyebabkan keyakinan pada bulan Jun menyusut kepada rekod terendah. Lebih banyak syarikat kini melihat ada cahaya di hujung terowong, dan pengambilan pekerja seterusnya menjadi stabil,” jelas beliau dalam satu kenyataan. 

 

Tambah Williamson, walaupun inflasi kos input melonjak sedikit, namun, ia terus berprestasi baik, di bawah kadar tertinggi yang direkodkan pada awal tahun ini, membantu menurunkan inflasi harga jualan kepada paras terendah sejak Februari.

 

Berdasarkan tinjauan IHS Markit, pemain industri pembuatan Malaysia terus melaporkan keadaan operasi mereka terjejas teruk akibat lonjakan semula jangkitan COVID-19. 

 

Kedua-dua paras pengeluaran dan tempahan baharu terus mendatar pada Julai, dengan pengeluaran kembali menyusut ke paras terendahnya sejak April 2020.

 

Tambah IHS Markit, kebanyakan syarikat dalam industri berkenaan melaporkan bahawa sekatan pandemik yang baharu telah menjejaskan permintaan dan keyakinan pelanggan di kedua-dua pasaran domestik dan antarabangsa. 

 

Ini bermakna, pengurangan jualan eksport baharu dilihat lebih lemah berbanding tempahan baharu, memandangkan beberapa firma menjelaskan bahawa permintaan bertambah baik terutamanya dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

 

Kos input sebaliknya melonjak untuk bulan ke-14 berturut-turut setakat Julai 2021, menunjukkan harga yang lebih tinggi untuk beberapa bahan mentah dan kos penghantaran yang lebih tinggi. 

 

Pemain industri dilaporkan meletakkan beban kos yang lebih tinggi itu kepada pelanggan, menjadikan cas output lebih tinggi walaupun kadar inflasi berkurangan pada tempoh lima bulan. 

 

“Kekurangan bahan, serta kelewatan dalam menerima penghantaran telah menyebabkan purata masa tunggu pembekal lebih panjang kepada paras yang dicatatkan sejak Mei. 

 

“Beberapa firma memberitahu bahawa kelewatan bekalan menghalang usaha penyimpanan stok semula dan, dalam beberapa kes, mengehadkan pengeluaran,” jelas IHS Markit. - DagangNews.com