PMI sektor pembuatan negara masih berada pada kedudukan baik | DagangNews Skip to main content

PMI sektor pembuatan negara masih berada pada kedudukan baik

MALAYSIA

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) dalam sektor pembuatan negara masih berada pada kedudukan yang baik iaitu 49.3 pada Ogos 2020.

MIDF Research berkata, kedudukan tersebut adalah sedikit rendah berbanding 50 pada yang dicatatkan pada Julai 2020.

"Sebelum ini, PMI sektor pembuatan negara hampir tidak dapat bertahan pada kedudukan melebihi 50.

"Selagi ia berada pada kedudukan 49 hingga 50, ia masih dianggap baik untuk Malaysia," jelas MIDF Research.

Tambah MIDF Research,jumlah tersebut juga masih kekal tinggi berbanding dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Perkembangan tersebut juga dinilai berdasarkan kepada pengoperasian semula perniagaan dan sektor ekonomi semasa.

Namun, pembukaan semula perniagaan dan sektor ekonomi tersebut juga masih tidak berlangsung dalam kapasiti menyeluruh seperti sebelumnya susulan peraturan pencegahan tertentu.

Bukan hanya di Malaysia, trend penurunan juga dilihat kepada beberapa negara lain seperti Filipina (47.3 vs 48.4), Vietnam (45.7 vs 47.6) dan Australia (53.6 vs 54).

Namun, trend peningkatan pula dicatatkan oleh beberapa negara lain seperti China (53.1 vs 52.8), Korea Selatan (48.5 vs 46.9) dan Amerika Syarikat (53.1 vs 50.9).

Dalam nota kajian yang sama, MIDF Research turut menjangkakan aktiviti pembuatan di peringkat global bakal meningkat secara beransur-ansur sekali gus menyumbang kepada aliran perdagangan yang lebih baik pada separuh kedua 2020. - DagangNews.com