PN beri syarat Ismail Sabri tidak boleh lantik Jemaah Menteri ada kes mahkamah | DagangNews Skip to main content

PN beri syarat Ismail Sabri tidak boleh lantik Jemaah Menteri ada kes mahkamah

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri oleh kerajaan Perikatan Nasional, disyaratkan melantik Jemaah Menteri terdiri daripada yang bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

 

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan PN di bawah pimpinan Ismail Sabri mestilah menerusi amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berpelembagaan.

 

Beliau yang juga kini menjadi Perdana Menteri `caretaker’ berkata, selaras dengan prinsip Perikatan Nasional untuk mempertahankan kerajaan yang berintegriti, suka saya menegaskan bahawa sokongan PN kepada Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO adalah bersyarat.

 

‘’Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

 

‘’Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

 

‘’Selaku Pengerusi Perikatan Nasional, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 apabila tiba masanya,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

Muhyiddin
MUHYIDDIN YASSIN

 

 

Muhyiddin berkata, PN telah sebulat suara bersetuju mencalonkan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri kerajaan PN yang baharu.

 

Menurutnya, semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti-parti gabungan PN, iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat BERSATU, 18 PAS dan 1 STAR telah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara pada 18 Ogos 2021 menyatakan sokongan kepada  Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri. Empat Ahli Dewan Rakyat bebas Pro-PN juga telah berbuat demikian.

 

‘’Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

 

‘’Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar Kerajaan Perikatan Nasional yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihanraya Umum bagi mengembalikan mandate kepada rakyat.

 

‘’Keputusan ini juga bermakna Perikatan Nasional lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa. Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara,’’ kata beliau. – DagangNews.com