KUALA LUMPUR 15 Sept. - Perbadanan Nasional (PNS), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah mengadakan Kempen Merdeka PNS bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 dan Hari Malaysia.
Kempen Merdeka ini diadakan bagi menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memberi sokongan yang tinggi dan patuh dengan saranan Kerajaan di dalam mematuhi Standard Prosedur Operasi dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19. Inisiatif kempen ini adalah bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Malaysia Prihatin”.
Kempen Merdeka PNS meliputi program menandatangani kad Aku Janji untuk mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) oleh penggiat francais tempatan, guru dan pelajar SMK Seri Pantai, Kampung Kerinchi dan warga kerja PNS.
Sebanyak 1,040 tandatangan berjaya dikumpul bagi menyatakan kesediaan dalam mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang kempen ini berlangsung. Selain itu, sebanyak 10,000 pelitup muka dan 3,000 kit penjagaan Covid-19 juga turut diagihkan kepada orang awam di sekitar Bangsar South City sepanjang kempen ini dijalankan.
Kad Aku Janji yang telah ditandatangani telah diserahkan kepada Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan (Keselamatan) di dalam majlis penyerahan pada 14 September 2020 di Menara PNS sebagai simbol komitmen penggiat industri francais, para guru dan pelajar serta warga kerja PNS dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.
Antara kandungan kad Aku Janji tersebut ialah:
- Menggunakan aplikasi MySejahtera dan memeriksa suhu ketika memasuki mana-mana premis awam;
- Membasuh tangan dengan kerap dengan menggunakan sabun dan cecair pembersih tangan;
- Menjarakkan diri dengan individu lain sebanyak satu meter;
- Memakai pelitup muka di kawasan yang sesak dan tumpuan awam;
- Memastikan premis perniagaan mengamalkan kebersihan yang kondusif;
- Memastikan premis perniagaan menghadkan kemasukan pelanggan ke dalam premis dalam satu-satu masa dan melaksanakan penjarakan fizikal; dan
- Segera berjumpa doktor sekiranya bergejala atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19
Kad tersebut disampaikan oleh Datuk Sri Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC). Penyerahan kad Aku Janji ini juga adalah sebagai tanda terima kasih PNS serta penggiat industri francais kepada Datuk Sri Ismail Sabri sebagai wakil kerajaan dalam kluster keselamatan yang banyak memberikan informasi dan perkembangan terkini kepada rakyat mengenai wabak COVID-19.
Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut ialah Datuk Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Mohd Hilaluddin Abd Shukor, Ketua Pegawai Eksekutif PNS , wakil-wakil penggiat industri francais dari jenama McDonald’s, D’Tandoor, Marrybrown, MD Putu Bambu World, MK Curtain, LaundryBar, Asam Pedas Premier, Chatime, Genius Aulad, Restoran Mohd Chan, OldTime White Coffee, MyeongDong Topokki dan Brain Zone.
PNS adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan ditubuhkan pada 29 November 1969 yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.
Mulai 2004, PNS mempunyai sasaran untuk menerajui perkembangan industri francais di Malaysia dan membangunkan jumlah usahawan francais, melalui kepakarannya dengan menawarkan perkhidmatan serta produk-produk yang berkualiti seperti berikut:
- Sokongan Pembiayaan Francais untuk perniagaan dan usahawan francais yang merangkumi semua keperluan perniagaan francais termasuk perbelanjaan modal and keperluan modal kerja;
- Sokongan Pembiayaan Ekuiti untuk membantu meningkatkan pemilikan Ekuiti Bumiputra dalam sektor francais strategik; dan
- Khidmat nasihat merangkumi sokongan kepada pembangunan Usahawan Bumiputera dan Perniagaan Francais untuk meningkatkan daya saing dalam persekitaran perniagaan.
PNS juga menyediakan khidmat latihan dan skim khas untuk francaisor dan francaisi dan mengalu-alukan rakan-rakan francais ke Malaysia. Selain itu, PNS juga menawarkan perkhidmatan lain seperti Latihan, penyewaan Ruang Runcit, Pelaburan & Pembiayaan Hartanah (berkaitan dengan Francais) dan Pelaburan Ekuiti.
Berpusat di Ibu Pejabat di Bangsar South, PNS juga mempunyai lima pejabat koridor iaitu Pejabat Koridor Utara, Pejabat Koridor Pantai Timur, Pejabat Koridor Selatan, Pejabat Koridor Sabah dan Pejabat Koridor Sarawak yang bersedia menjalankan peranan mereka dalam membangunkan lebih ramai francaisor dan francaisi. - DagangNews.com