KUALA LUMPUR 1 Nov - Hujan lebat serta ribut melanda beberapa kawasan di Shah Alam, Selangor hari ini menyebabkan banyak kejadian pokok tumbang dan banjir kilat.
Susulan hujan yang sangat lebat dan ribut selama satu jam sejak pukul 3 petang tadi, tular beberapa gambar dan video diulang kongsi pengguna media sosial.
Antara kawasan yang terjejas teruk dengan kejadian pokok tumbang termasuk Taman Botani Negara Shah Alam.
Pengurusan Taman Botani Negara Shah Alam menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, taman tersebut akan ditutup mulai 2 November 2023 sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dilaksanakan dan keadaan membenarkan.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui platform X mengesahkan, kejadian banjir kilat melanda beberapa kawasan, antaranya Terowong Cahaya Alam U12 dan Terowong Desa Alam U12.
Selain itu, pihak MBSA sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7; Bulatan Mestika, Seksyen 6 dan Jalan Selasih U12/13, Seksyen U12.
KLIK UNTUK VIDEO: https://www.tiktok.com/@dagangnews/video/7296441157922426113?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7239999029697168898
"Orang ramai diminta untuk mengelak laluan tersebut dan dinasihatkan menggunakan laluan alternatif," katanya. - DagangNews.com